[1] Ya TUHAN, Engkaulah Allah yang menghukum orang bersalah; tunjukkanlah kemurkaan-Mu!
[2] Engkaulah hakim semua orang; bangkitlah dan balaslah orang sombong, setimpal dengan perbuatan mereka.
[3] Berapa lama lagi orang jahat akan bersuka-suka? Berapa lama lagi mereka berbuat begitu, ya TUHAN?
[4] Berapa lama lagi penjahat akan bercakap dengan sombong, dan membanggakan kejahatan mereka?
[5] Mereka menghancurkan umat-Mu, ya TUHAN; mereka menindas orang yang menjadi milik-Mu.
[6] Mereka membunuh balu dan anak yatim, serta orang asing yang tinggal di negeri kami.
[7] Mereka berkata, “TUHAN tidak nampak kami; Allah umat Israel tidak melihat perbuatan kami.”
[8] Hai umatku, mengapakah kamu begitu bodoh? Bilakah kamu dapat faham?
[9] Allah menjadikan telinga - pasti Dia dapat mendengar. Dia menjadikan mata - pasti Dia dapat melihat.
[10] Dia yang memarahi bangsa-bangsa - pasti Dia menghukum mereka. Dia guru semua orang - pasti Dia berpengetahuan.
[11] TUHAN tahu akan fikiran manusia; Dia tahu bahawa semuanya sia-sia belaka.
[12] Ya TUHAN, berbahagialah orang yang Engkau didik, orang yang Engkau ajarkan hukum-Mu.
[13] Engkau menenangkan dia pada masa kesusahan, sehingga lubang digali untuk memerangkap orang jahat.
[14] TUHAN tidak akan meninggalkan umat-Nya; Dia tidak akan mengabaikan orang yang menjadi milik-Nya.
[15] Keadilan akan ditegakkan lagi di mahkamah, dan semua orang jujur akan menyokongnya.
[16] Siapakah yang membela aku terhadap orang zalim? Siapakah yang memihak aku menentang orang jahat?
[17] Jika TUHAN tidak menolong aku, pasti aku sudah pun sampai ke dunia orang mati.
[18] Waktu aku berfikir bahawa aku akan jatuh, kasih-Mu, ya TUHAN, menopang aku.
[19] Ketika aku bimbang dan khuatir, Engkau menghiburkan dan menggembirakan hatiku.
[20] Engkau tidak bersekutu dengan hakim yang tidak adil, yang mengesahkan perkara yang melanggar hukum;
[21] mereka bersekongkol melawan orang baik, dan menghukum mati orang yang tidak bersalah.
[22] Tetapi TUHAN membela aku; Allahku melindungi aku.
[23] Dia akan menghukum orang jahat kerana kezaliman mereka, dan membinasakan mereka kerana dosa mereka; TUHAN, Allah kita akan membinasakan mereka.