[1] Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Sajak Daud,
[2] pada masa orang Zif pergi kepada Raja Saul dan memberitahu baginda bahawa Daud bersembunyi di kawasan mereka.
[3] Selamatkanlah aku dengan kuasa-Mu, ya Allah; bebaskanlah aku dengan kekuatan-Mu.
[4] Dengarlah doaku, ya Allah; endahkanlah kata-kataku.
[5] Orang sombong datang menyerang aku, orang zalim ingin membunuh aku, mereka tidak menghiraukan Allah.
[6] Tetapi Allah ialah penolongku, Tuhan ialah pembelaku.
[7] Biar Allah menghukum musuhku dengan kejahatan mereka. Ya Allah, binasakanlah mereka kerana Engkau setia kepadaku.
[8] Ya TUHAN, aku rela mempersembahkan korban kepada-Mu; aku mengucap syukur kepada Engkau kerana kebaikan-Mu.
[9] Engkau telah menyelamatkan aku daripada segala kesusahan, dan aku telah melihat musuhku dikalahkan.