Skip to content
Opens in a new window

[1] Bukan kami, ya TUHAN, bukan kami, tetapi Engkau sahaja yang harus dimuliakan dan dipuji, kerana Engkau setia dan tetap mengasihi kami.

[2] Mengapakah bangsa-bangsa bertanya, “Di manakah Allah mereka?”

[3] Allah kami ada di syurga; Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

[4] Berhala-berhala mereka dibuat daripada perak dan emas, dibentuk oleh tangan manusia.

[5] Berhala-berhala itu mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap, mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat,

[6] mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar, mempunyai hidung tetapi tidak dapat menghidu,

[7] mempunyai tangan tetapi tidak dapat meraba, mempunyai kaki tetapi tidak dapat berjalan; berhala-berhala itu tidak dapat bersuara.

[8] Biarlah semua orang yang membuat berhala, dan yang percaya kepada berhala, menjadi seperti berhala yang dibuat mereka.

[9] Percayalah kepada TUHAN, hai umat Israel. Dialah yang menolong dan melindungi kamu.

[10] Percayalah kepada TUHAN, hai imam-imam Allah. Dialah yang menolong dan melindungi kamu.

[11] Percayalah kepada TUHAN, hai semua orang yang menyembah Dia. Dialah yang menolong dan melindungi kamu.

[12] TUHAN mengingati kita dan akan memberkati kita; Dia akan memberkati umat Israel dan semua imam Allah.

[13] Dia akan memberkati semua orang yang menghormati Dia; baik orang besar mahupun orang biasa.

[14] Semoga TUHAN menganugerahkan anak-anak kepada kamu dan keturunan kamu.

[15] Semoga kamu diberkati TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi.

[16] Syurga adalah kepunyaan TUHAN sahaja, tetapi Dia memberikan bumi kepada manusia.

[17] TUHAN tidak dipuji oleh orang mati, orang yang sudah turun ke alam yang sunyi.

[18] Tetapi kita yang hidup bersyukur kepada-Nya, sekarang dan selama-lamanya. Pujilah TUHAN!

Mazmur — Chapters