[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Ya Allah yang selalu kupuji, janganlah berdiam diri!
[2] Orang jahat dan pendusta memfitnah aku, mereka bercakap dusta tentang aku.
[3] Mereka menyerang aku dengan kata-kata penuh kebencian, dan menuduh aku tanpa sebarang alasan.
[4] Mereka menuduh aku, walaupun aku mengasihi mereka, dan telah mendoakan mereka.
[5] Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan, dan kasihku dengan kebencian.
[6] Pilihlah seorang jahat untuk menghakimi musuhku, dan biarlah musuh itu didakwa oleh lawannya sendiri.
[7] Biarlah dia dihakimi dan didapati bersalah, dan doanya pun dianggap dosa.
[8] Biarlah hidupnya berakhir segera, dan jawatannya diambil oleh orang lain.
[9] Biarlah anak-anaknya menjadi yatim, dan isterinya menjadi balu.
[10] Biarlah anak-anaknya menjadi pengemis yang tiada tempat berteduh, dan dihalau dari runtuhan yang didiami mereka.
[11] Biarlah si piutang merampas segala harta musuhku, dan orang lain menjarah hasil jerihnya.
[12] Biarlah tiada orang yang baik hati kepadanya, atau menyayangi anak-anaknya yang menjadi yatim.
[13] Biarlah semua keturunannya binasa, dan namanya dilupakan oleh generasi selanjutnya.
[14] Biarlah TUHAN mengingati kejahatan nenek moyangnya, dan tidak mengampunkan dosa ibunya.
[15] Biarlah TUHAN sentiasa mengingati dosa mereka, tetapi mereka sama sekali dilupakan oleh orang di bumi.
[16] Musuhku itu tidak pernah berniat untuk berbuat baik; dia menganiaya dan membunuh orang yang miskin, yang sengsara, dan yang tidak berdaya.
[17] Dia suka mengutuk; biarlah dia sendiri dikutuk! Dia tidak suka memberkati orang; biarlah tidak seorang pun memberkati dia!
[18] Dia lebih sering mengutuk orang daripada mengganti pakaian; biarlah kutuk itu masuk ke badannya seperti air yang diminumnya, dan menyerap seperti minyak ke dalam tulang-tulangnya.
[19] Biarlah kutuk itu menutupinya seperti pakaian, dan sentiasa membelitnya seperti tali pinggang.
[20] Ya TUHAN, hukumlah musuhku dengan cara itu, mereka yang mengatakan hal jahat tentang aku.
[21] Tetapi tolonglah aku, ya TUHAN Raja, menurut janji-Mu, dan selamatkanlah aku kerana kebaikan dan kasih-Mu.
[22] Aku miskin dan sengsara; hatiku sangat luka.
[23] Aku hampir lenyap seperti bayangan pada waktu petang; aku dikebas seperti belalang.
[24] Lututku gementar kerana berpuasa; badanku tinggal kulit dan tulang.
[25] Apabila orang melihat aku, mereka mengejek aku; mereka menggeleng-gelengkan kepala sambil menghina aku.
[26] Tolonglah aku, ya TUHAN, Allahku; selamatkanlah aku kerana kasih-Mu.
[27] Hendaklah musuhku tahu bahawa hal itu perbuatan-Mu, bahawa Engkaulah yang menyelamatkan aku.
[28] Walaupun mereka mengutuk aku, tetapi Engkau memberkati aku. Biarlah mereka yang menganiaya aku dikalahkan, dan semoga aku, hamba-Mu, digembirakan.
[29] Biarlah musuhku dihina, dan perasaan malu menyelubungi mereka seperti jubah.
[30] Aku akan bersyukur kepada TUHAN dengan suara nyaring; aku akan memuji Dia dalam perhimpunan umat,
[31] kerana Dia membela orang sengsara dan menyelamatkan mereka daripada orang yang menjatuhi mereka hukuman mati.