Skip to content
Opens in a new window

[1] Ratapan Daud, yang dinyanyikan kepada TUHAN kerana Kus, orang Benyamin itu.

[2] Ya TUHAN, Allahku, aku berlindung kepada-Mu; selamatkanlah dan lepaskanlah aku daripada semua orang yang memburu aku.

[3] Jangan biarkan mereka seperti singa yang menerkam dan menyeret aku ke tempat yang tiada seorang pun dapat menyelamatkan aku.

[4] Ya TUHAN, Allahku, jika aku pernah berbuat jahat, jika aku mengkhianati sahabat, atau melakukan keganasan terhadap musuh tanpa sebab,

[6] biarlah musuhku memburu dan menangkap aku, lalu membunuh dan meninggalkan aku dalam debu!

[7] Bangkitlah dengan kemurkaan-Mu, ya TUHAN, dan tentanglah keganasan musuh-musuhku! Bangkitlah dan tolonglah aku, kerana keadilanlah yang Engkau tuntut.

[8] Himpunkanlah bangsa-bangsa di sekeliling-Mu, dan perintahlah mereka dari takhta-Mu di syurga.

[9] Engkaulah yang menghakimi semua manusia. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku tidak bersalah.

[10] Hentikanlah kejahatan orang durjana, dan berikanlah pahala kepada orang yang baik, kerana Engkau Allah yang adil, Engkau menyelami hati dan fikiran.

[11] Pelindungku ialah Allah; Dia menyelamatkan mereka yang mentaati-Nya.

[12] Allah ialah hakim yang adil, yang sentiasa menghukum mereka yang jahat.

[13] Jika kelakuan mereka tidak berubah, Allah akan mengasah pedang-Nya. Dia menyiapkan dan melengkungkan busur-Nya;

[14] Dia mengambil senjata-Nya yang berbahaya dan melancarkan anak panah-Nya yang bernyala.

[15] Lihatlah cara orang jahat memikirkan kejahatan; mereka merancangkan kekacauan dan melakukan penipuan.

[16] Mereka memasang perangkap untuk orang lain, tetapi mereka sendiri jatuh ke dalamnya.

[17] Demikianlah mereka terhukum oleh kejahatan sendiri, dan tercedera oleh keganasan mereka sendiri.

[18] Aku mengucap syukur kepada TUHAN kerana Dia adil, aku menyanyikan pujian kepada TUHAN, Yang Maha Tinggi.

Mazmur — Chapters