[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu yang kelapan. Mazmur Daud.
[2] Tolonglah kami, ya TUHAN, kerana tidak ada lagi orang yang baik; orang yang jujur tidak dapat dijumpai lagi.
[3] Semua manusia saling membohongi, dan saling menipu dengan kata-kata manis.
[4] Hentikanlah kata-kata manis itu, ya TUHAN, dan bungkamkan mulut yang bercakap besar,
[5] “Kami berkuasa dengan mulut kami. Kami akan bercakap sesuka hati; tidak sesiapa dapat menghalang kami.”
[6] TUHAN berfirman, “Orang miskin ditindas, dan orang yang dianiaya mengerang. Maka sekarang juga Aku datang memberikan ketenteraman yang diingini mereka.”
[7] Janji TUHAN teguh dan dapat dipercayai; seperti perak yang dimurnikan berkali-kali di dalam api.
[8] Orang jahat terdapat di merata-rata tempat, dan setiap orang menyanjung kejahatan. Selamatkanlah kami, ya TUHAN, peliharakanlah kami daripada orang seperti itu.