Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Asaf.

[2] Aku berseru dengan nyaring kepada Allah; dengan nyaring aku berseru supaya Dia mendengar.

[3] Pada masa kesusahan aku berdoa kepada Tuhan; sepanjang malam aku menadahkan tangan sambil berdoa, tetapi aku tidak terhibur.

[4] Ketika aku teringat kepada Allah, aku mengeluh; apabila aku bermenung, hilanglah semangatku.

[5] Allah membuat aku tidak dapat tidur; aku begitu khuatir sehingga tidak dapat bertutur.

[6] Aku teringat akan masa dahulu, hari dan tahun yang sudah lalu.

[7] Sepanjang malam aku berfikir dalam-dalam; bermenung dan bertanya dalam hati,

[8] “Adakah Allah menolak kita selama-lamanya? Tidakkah Dia berkenan lagi kepada kita?

[9] Tidakkah Dia mengasihi kita lagi? Tidakkah Dia memenuhi janji-Nya lagi?

[10] Adakah Allah telah lupa mengasihani kita? Murkakah Dia, sehingga tidak berbelas kasihan lagi?”

[11] Kemudian aku berkata, “Inilah yang paling menyakiti hatiku, bahawa Allah tidak berkuasa lagi.”

[12] Aku akan mengingat perbuatan-Mu yang besar, ya TUHAN. Aku akan mengenang keajaiban yang Engkau lakukan pada zaman dahulu.

[13] Aku akan memikirkan segala yang Engkau lakukan, aku akan merenungkan segala perbuatan-Mu.

[14] Ya Allah, segala yang Engkau lakukan itu suci. Siapakah sebesar Allah kami?

[15] Engkaulah Allah yang melakukan mukjizat; Engkau menunjukkan kuasa-Mu antara bangsa-bangsa.

[16] Dengan kuasa-Mu, Engkau menyelamatkan umat-Mu, keturunan Yakub dan Yusuf.

[17] Ya Allah, laut gentar apabila melihat Engkau, bahkan dasar laut pun gementar.

[18] Awan mencurahkan hujan; guruh mengguntur di langit, dan kilat memancar ke segala jurusan.

[19] Guruh menggelegar, kilat memancar, bumi bergoncang dan gementar.

[20] Engkau berjalan melalui ombak; Engkau menyeberangi lautan yang dalam, namun jejak kaki-Mu tidak kelihatan.

[21] Engkau memimpin umat-Mu seperti seorang gembala, bersama-sama Musa dan Harun yang mengetuai mereka.

Mazmur — Chapters