Skip to content
Opens in a new window

[1] Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN.

[2] Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah seruanku minta pertolongan.

[3] Janganlah berpaling daripadaku ketika aku dalam kesusahan. Dengarlah apabila aku berseru, dan jawablah permintaanku dengan segera.

[4] Hidupku menghilang seperti asap; badanku seolah-olah terbakar.

[5] Aku layu seperti rumput kering, dan seleraku hilang.

[6] Aku mengerang dengan kuat; badanku kurus kering.

[7] Aku bagaikan burung liar di padang pasir, bagaikan burung hantu di tempat runtuhan.

[8] Aku tidak dapat tidur; aku bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah.

[9] Sepanjang hari musuh mencela aku; mereka yang mempermainkan aku menggunakan namaku untuk mengutuk.

[10] Abu menjadi makananku, dan minumanku bercampur air mata

[11] kerana kemurkaan-Mu yang menyala-nyala. Engkau telah mengangkat dan membuang aku.

[12] Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang; aku layu seperti rumput kering.

[13] Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya; semua keturunan akan mengingati Engkau.

[14] Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion; masanya sudah tiba untuk mengasihaninya; inilah masanya yang tepat.

[15] Walaupun Sion telah musnah, hamba-hamba-Mu mengasihinya; walaupun Sion telah runtuh, mereka mengasihaninya.

[16] Bangsa-bangsa akan takut kepada TUHAN; semua raja di bumi akan takut terhadap kuasa-Nya.

[17] Apabila TUHAN membina Sion semula, Dia akan menyatakan keagungan-Nya.

[18] Dia akan mendengar doa umat-Nya yang papa, dan tidak menolak permohonan mereka.

[19] Tulislah semua perbuatan TUHAN untuk keturunan yang akan datang, supaya generasi yang akan datang dapat memuji Dia.

[20] TUHAN memandang ke bawah dari tempat-Nya yang suci, Dia memandang dari syurga ke bumi,

[21] untuk mendengar keluhan orang tawanan, dan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman mati.

[22] Oleh itu nama-Nya akan diisytiharkan di Sion; Dia akan dipuji-puji di Yerusalem,

[23] ketika bangsa dan kerajaan berkumpul untuk menyembah TUHAN.

[24] TUHAN melemahkan aku semasa aku masih muda; Dia memendekkan umurku.

[25] Ya Allah, janganlah ambil nyawaku, sebelum lanjut usiaku. Engkau hidup selama-lamanya;

[26] dahulu Engkau menciptakan bumi, dan langit pun karya tangan-Mu sendiri.

[27] Semuanya akan lenyap, tetapi Engkau tetap ada; semuanya akan usang seperti kain. Engkau membuang semuanya seperti baju lama; lalu semuanya akan lenyap.

[28] Tetapi Engkau tetap sama, hidup-Mu tidak akan berakhir.

[29] Anak-anak kami akan hidup dengan selamat, dan keturunan mereka sentiasa aman dalam perlindungan-Mu.

Mazmur — Chapters