Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud

[2] setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.

[3] Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu; hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar.

[4] Basuhlah aku daripada segala kejahatanku, dan bersihkanlah aku daripada dosaku.

[5] Aku mengakui kesalahanku; aku sentiasa sedar akan dosaku.

[6] Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja, dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat. Maka patutlah Engkau menghakimi aku; adillah Engkau ketika menghukum aku.

[7] Aku jahat sejak aku dilahirkan; aku berdosa sejak aku dalam kandungan.

[8] Engkau menghendaki ketulusan hati; penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu.

[9] Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih; basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji.

[10] Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan, agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan, akan menjadi gembira semula.

[11] Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku, dan hapuskanlah segala kejahatanku.

[12] Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku, baharuilah batinku agar menjadi teguh.

[13] Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu; janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku.

[14] Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu, dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu.

[15] Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa, dan mereka akan kembali kepada-Mu.

[16] Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku, lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu.

[17] Tolonglah aku berkata-kata, ya Tuhan, lalu aku akan memberi Engkau pujian.

[18] Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan; jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu, Engkau pun tidak berkenan.

[19] Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah; hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.

[20] Tunjukkanlah kebaikan-Mu kepada Sion, ya Allah, binalah tembok-tembok Yerusalem semula.

[21] Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang layak, serta korban-korban yang kami bakar; di atas mazbah-Mu, lembu jantan akan dipersembahkan.

Mazmur — Chapters