Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, pelindungku! Dia melatih aku untuk bertempur, dan mempersiapkan aku untuk berperang.

[2] Dialah pelindungku dan pembelaku, tempat aku bernaung dan penyelamatku; aku bergantung kepada-Nya supaya aku selamat. Dia menaklukkan bangsa-bangsa ke bawah kuasaku.

[3] Ya TUHAN, apakah manusia sehingga Engkau memperhatikan dia? Dia manusia biasa, namun Engkau mengendahkan dia!

[4] Manusia bagaikan hembusan nafas, dan hidupnya berlalu seperti bayangan.

[5] Ya TUHAN, bukalah langit dan turunlah; sentuhlah gunung-gunung supaya berasap.

[6] Pancarkanlah kilat dan cerai-beraikanlah musuh-Mu; lepaskanlah anak panah-Mu supaya musuh lari.

[7] Hulurkanlah tangan-Mu dari syurga, dan selamatkanlah aku dari air yang dalam; selamatkanlah aku daripada kuasa orang asing,

[8] yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu.

[9] Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, ya Allah; aku akan memainkan kecapi dan menyanyi untuk-Mu.

[10] Engkau memberikan kemenangan kepada raja-raja, dan menyelamatkan hamba-Mu, Daud.

[11] Selamatkanlah aku daripada pedang orang kejam, dan lepaskanlah aku daripada kuasa orang asing, yang selalu berdusta dan menipu, dan mengangkat sumpah palsu.

[12] Semoga anak-anak lelaki kita yang masih muda menjadi seperti tumbuh-tumbuhan yang membesar. Semoga anak-anak perempuan kita menjadi seperti tiang cantik yang menyangga sudut-sudut istana.

[13] Semoga gudang kita dipenuhi pelbagai hasil bumi. Semoga domba di ladang kita beranak sampai berpuluh-puluh ribu banyaknya.

[14] Semoga lembu kita pun membiak, tanpa ada yang hilang ataupun keguguran. Semoga tiada tangisan kesengsaraan yang kedengaran di jalan-jalan kota kita.

[15] Berbahagialah bangsa yang sedemikian, berbahagialah umat yang Allah mereka TUHAN!

Mazmur — Chapters