[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, pada masa dia lari ke dalam gua untuk menghindari Raja Saul.
[2] Kasihanilah aku, ya Allah, kasihanilah aku, kerana aku mencari keselamatan daripada-Mu. Aku mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu, sehingga ribut yang mengamuk sudah berlalu.
[3] Kepada Allah Yang Maha Tinggi aku berseru, Dia Allah yang memenuhi segala keperluanku.
[4] Dia akan menjawab dari syurga dan menyelamatkan aku; Dia akan mengalahkan orang yang menindas aku. Allah akan menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepadaku.
[5] Aku dikepung oleh musuh, mereka seperti singa pemakan manusia. Gigi mereka seperti lembing dan anak panah; lidah mereka seperti pedang yang tajam.
[6] Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi!
[7] Musuhku memasang jaring untuk menangkap aku, aku diliputi perasaan putus asa. Mereka menggali lubang di jalanku, tetapi mereka sendiri terjatuh ke dalamnya.
[8] Ya Allah, aku sungguh yakin kepada-Mu; aku hendak menyanyi dan memuji Engkau!
[9] Bangunlah, hai jiwaku! Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari!
[10] Ya Tuhan, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia.
[11] Kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.
[12] Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi.