[1] Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela, dan hidup menurut Taurat TUHAN.
[2] Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya, dan mentaati Dia dengan sepenuh hati.
[3] Mereka tidak melakukan kejahatan, tetapi hidup menurut kehendak TUHAN.
[4] Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN, dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia.
[5] Semoga aku setia mematuhi peraturan-Mu.
[6] Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu, aku tidak akan dipermalukan.
[7] Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil, aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni.
[8] Aku akan taat kepada hukum-Mu; janganlah sekali-kali tinggalkan aku!
[9] Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci? Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu.
[10] Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau; jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu.
[11] Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku, supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
[12] Aku memuji Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku kehendak-Mu.
[13] Aku akan menceritakan segala hukum yang telah Engkau berikan.
[14] Aku gemar menurut perintah-Mu, lebih daripada memiliki segala kekayaan.
[15] Aku akan mengkaji peraturan-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu.
[16] Aku gemar akan hukum-Mu; aku tidak akan melupakan perintah-Mu.
[17] Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu.
[18] Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu.
[19] Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku.
[20] Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu.
[21] Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu.
[22] Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu.
[23] Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu.
[24] Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku.
[25] Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu.
[26] Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu.
[27] Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan.
[28] Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu.
[29] Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu.
[30] Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu.
[31] Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan.
[32] Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku.
[33] Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu.
[34] Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya.
[35] Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku.
[36] Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan.
[37] Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.
[38] Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu.
[39] Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu.
[40] Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.
[41] Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
[42] Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu.
[43] Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu.
[44] Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya.
[45] Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu.
[46] Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan.
[47] Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu.
[48] Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu.
[49] Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku.
[50] Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup.
[51] Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu.
[52] Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN.
[53] Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu.
[54] Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu.
[55] Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu.
[56] Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu.
[57] Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu.
[58] Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu.
[59] Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu.
[60] Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu.
[61] Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu.
[62] Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil.
[63] Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu.
[64] Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu.
[65] Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu.
[66] Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu.
[67] Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu.
[68] Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu.
[69] Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu.
[70] Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku.
[71] Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu.
[72] Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia.
[73] Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu.
[74] Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu.
[75] Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia.
[76] Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu.
[77] Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu.
[78] Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu.
[79] Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu.
[80] Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan.
[81] Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu.
[82] Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?”
[83] Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu.
[84] Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku?
[85] Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku.
[86] Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta!
[87] Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu.
[88] Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.
[89] Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga.
[90] Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada.
[91] Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu.
[92] Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku.
[93] Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku.
[94] Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu.
[95] Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu.
[96] Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna.
[97] Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari.
[98] Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku.
[99] Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu.
[100] Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu.
[101] Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu.
[102] Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku.
[103] Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu!
[104] Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk.
[105] Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku.
[106] Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil.
[107] Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu.
[108] Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu.
[109] Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu.
[110] Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu.
[111] Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku.
[112] Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku.
[113] Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
[114] Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu.
[115] Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku.
[116] Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku!
[117] Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu.
[118] Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka.
[119] Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu.
[120] Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu.
[121] Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku!
[122] Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku!
[123] Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu.
[124] Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu.
[125] Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu.
[126] Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu.
[127] Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni.
[128] Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah.
[129] Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati.
[130] Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil.
[131] Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya.
[132] Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu.
[133] Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku.
[134] Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu.
[135] Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu.
[136] Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.
[137] Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil.
[138] Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar.
[139] Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu.
[140] Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya.
[141] Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu.
[142] Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar.
[143] Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku.
[144] Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup.
[145] Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu.
[146] Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu.
[147] Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu.
[148] Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu.
[149] Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.
[150] Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu.
[151] Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar.
[152] Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya.
[153] Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu.
[154] Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
[155] Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu.
[156] Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku.
[157] Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu.
[158] Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu.
[159] Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu.
[160] Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi.
[161] Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti.
[162] Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta.
[163] Aku sangat membenci segala dusta, tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
[164] Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil.
[165] Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; mereka tidak akan ditimpa malapetaka.
[166] Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, dan aku melakukan segala perintah-Mu.
[167] Aku mentaati ajaran-Mu, dan mencintainya dengan segenap hati.
[168] Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, kerana Engkau melihat segala perbuatanku.
[169] Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan.
[170] Dengarkanlah doaku, dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
[171] Aku akan memuji Engkau selalu, kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu.
[172] Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, kerana perintah-Mu adil.
[173] Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, kerana aku mahu mengikut perintah-Mu.
[174] Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, Taurat-Mu menggembirakan hatiku.
[175] Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; semoga peraturan-Mu menolong aku.
[176] Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.