[1] Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Ya TUHAN, Allahku, betapa agungnya Engkau! Engkau diliputi keagungan dan kemuliaan,
[2] dan diselubungi cahaya. Engkau membentangkan langit seperti khemah,
[3] dan membina rumah-Mu di tempat yang lebih tinggi daripada langit. Engkau menunggang awan dan mengenderai angin.
[4] Engkau menggunakan angin sebagai pesuruh-Mu, dan pancaran kilat sebagai hamba-Mu.
[5] Engkau mendirikan bumi kukuh pada asasnya, supaya tidak sekali-kali bergoyang.
[6] Engkau menyelubungi bumi dengan lautan, dan air menutupi pergunungan;
[7] tetapi air pun turun apabila Engkau menegurnya; air mengalir dengan deras apabila mendengar gemuruh suara-Mu.
[8] Air mengalir melalui gunung ke lembah, ke tempat yang telah Engkau sediakan.
[9] Engkau menentukan sempadan yang tidak boleh dilalui, supaya air tidak membanjiri bumi lagi.
[10] Engkau menjadikan mata air memancar di lembah-lembah, dan air sungai mengalir di sela-sela bukit,
[11] untuk memberi binatang liar minuman, dan untuk melepaskan dahaga keldai hutan.
[12] Di pokok-pokok yang berhampiran, burung berkicau dan membuat sarang.
[13] Dari langit Engkau menurunkan hujan ke atas pergunungan, bumi penuh dengan berkat-Mu.
[14] Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu, dan tanaman untuk kegunaan orang, supaya manusia dapat bercucuk tanam,
[15] dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati, minyak zaitun untuk menyerikan muka, dan makanan untuk memberikan tenaga.
[16] Pokok sedar di Lebanon mendapat banyak hujan, pokok-pokok yang ditanam oleh TUHAN.
[17] Di sana burung-burung bersarang, burung bangau bersarang di puncaknya.
[18] Kambing hutan tinggal di gunung yang tinggi, dan landak bersembunyi di tebing.
[19] Engkau menciptakan bulan untuk menanda musim; matahari pun tahu waktunya untuk terbenam.
[20] Engkau menjadikan malam, dan dalam kegelapan semua binatang hutan berkeliaran.
[21] Anak singa mengaum ketika berburu, mencari makanan yang diberikan Allah.
[22] Apabila matahari terbit, binatang pulang dan berbaring di tempat persembunyian.
[23] Kemudian manusia keluar bekerja, dan terus bekerja sehingga petang.
[24] Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu! Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya! Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu.
[25] Lihatlah laut luas terbentang, dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang.
[26] Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main.
[27] Semuanya bergantung kepada-Mu, untuk mendapat makanan pada waktunya.
[28] Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya; Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang.
[29] Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut; apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa, dan kembali ke tanah, menjadi debu semula.
[30] Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup; Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi.
[31] Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya! Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya!
[32] Dia memandang bumi, bumi pun bergentar; Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap.
[33] Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku; aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku.
[34] Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya, kerana Dialah yang membuat hatiku gembira.
[35] Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi, biarlah orang jahat habis binasa. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah TUHAN!