Skip to content
Opens in a new window

[1] Lagu ziarah. Ya TUHAN, ingatlah akan Daud, dan segala kesusahan yang ditanggungnya.

[2] Ingatlah akan janjinya kepada-Mu, ya TUHAN, dan nazarnya kepada-Mu, Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.

[3] Katanya, “Aku tidak akan pulang atau tidur;

[4] aku tidak akan berehat atau melelapkan mata,

[5] sehingga aku membina rumah bagi TUHAN, tempat kediaman bagi Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.”

[6] Kami mendengar tentang Tabut Perjanjian di Betlehem, dan menemuinya di padang Yaar.

[7] Kami berkata, “Marilah kita pergi ke Rumah TUHAN; marilah kita sembah Dia di hadapan takhta-Nya.”

[8] Datanglah dan tinggallah di Rumah-Mu, ya TUHAN, bersama-sama Tabut Perjanjian, lambang kekuasaan-Mu.

[9] Hendaklah imam-imam-Mu sentiasa melakukan apa yang benar; hendaklah umat-Mu bersorak-sorak kerana sukacita.

[10] Engkau telah berjanji kepada Daud, hamba-Mu. Ya TUHAN, janganlah tolak raja pilihan-Mu.

[11] Engkau telah berjanji dengan sumpah kepada Daud - Engkau tidak akan memungkiri janji ini: “Aku akan melantik salah seorang anakmu menjadi raja, dan dia akan mewarisi takhtamu.

[12] Jika anak-anakmu setia kepada perjanjian-Ku, dan kepada perintah yang Aku beri mereka, maka anak-anak mereka juga akan mewarisi takhtamu selama-lamanya.”

[13] TUHAN telah memilih Sion; Dia hendak menjadikannya tempat tinggal-Nya.

[14] Dia berfirman, “Di sinilah tempat kediaman-Ku selama-lamanya; Aku hendak tinggal di tempat ini.

[15] Aku akan memberi Sion segala keperluannya sehingga berlimpah-limpah; Aku akan mengenyangkan penduduknya yang miskin dengan makanan.

[16] Imam-imamnya memperlihatkan penyelamatan daripada-Ku, dan rakyatnya akan bersorak-sorak kerana sukacita.

[17] Di Sion seorang keturunan Daud akan Aku jadikan raja yang agung; Aku akan mengukuhkan pemerintahan raja pilihan-Ku.

[18] Aku akan mempermalukan musuh-musuhnya, tetapi kerajaannya aman dan makmur.”

Mazmur — Chapters