[1] Mazmur Daud. Berilah aku keadilan, ya TUHAN, kerana aku melakukan yang benar, dan aku percaya kepada-Mu dengan sepenuhnya.
[2] Periksalah aku, ya TUHAN, dan ujilah aku, selidiklah keinginanku dan fikiranku.
[3] Kasih-Mu membimbing aku; kesetiaan-Mu sentiasa memimpin aku.
[4] Aku tidak bergaul dengan orang yang tidak berguna; aku tidak berhubungan dengan orang yang berpura-pura.
[5] Aku membenci pergaulan dengan orang jahat, dan aku menjauhkan diri daripada penjahat.
[6] Ya TUHAN, aku membasuh tanganku tanda tidak bersalah, dan aku mengelilingi mazbah-Mu untuk menyembah Engkau.
[7] Aku menyanyikan sebuah mazmur dan memberitakan segala perbuatan-Mu yang ajaib itu.
[8] Ya TUHAN, aku mengasihi Rumah kediaman-Mu, tempat yang penuh dengan kemuliaan-Mu.
[9] Janganlah musnahkan aku bersama-sama orang berdosa; lindungilah aku daripada nasib pembunuh,
[10] iaitu orang yang sentiasa melakukan kejahatan dan selalu sedia menerima rasuah.
[11] Tetapi aku hidup dengan tulus hati; kasihanilah dan selamatkanlah aku.
[12] Aku selamat daripada segala bahaya; aku akan memuji TUHAN dalam perhimpunan umat-Nya.