Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf.

[2] Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita; nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub.

[3] Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin; mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus.

[4] Tiuplah trompet untuk perayaan kita pada waktu bulan baru dan bulan purnama.

[5] Inilah satu hukum untuk Israel, satu perintah daripada Allah Yakub.

[6] Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel, ketika Dia menyerang negeri Mesir. Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata,

[7] “Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu; dan membebaskan kamu daripada kerja paksa.

[8] Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku, dan Aku pun menyelamatkan kamu. Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir, Aku mengabulkan permintaan kamu; di mata air Meriba Aku menguji kamu.

[9] Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku; Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku!

[10] Jangan sembah tuhan lain.

[11] Akulah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir. Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan.

[12] Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku; Israel tidak mahu taat kepada-Ku.

[13] Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka, dan berbuat sesuka hati mereka.

[14] Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku, sekiranya mereka taat kepada-Ku,

[15] Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera, dan menaklukkan semua lawan mereka.

[16] Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku; mereka akan dihukum selama-lamanya.

[17] Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan, dan Kukenyangkan dengan madu hutan.”

Mazmur — Chapters