[1] Mazmur Daud. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku naikkan doaku;
[2] ya Allahku, aku percaya kepada-Mu. Janganlah biarkan aku dipermalukan; janganlah biarkan musuhku mentertawakan aku.
[3] Kekalahan tidak akan dialami orang yang percaya kepada-Mu, tetapi hanya dialami orang yang cepat memberontak terhadap-Mu.
[4] Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, nyatakanlah apa yang harus aku lakukan.
[5] Ajarlah aku supaya aku hidup menurut kehendak-Mu, kerana Engkau penyelamatku. Aku selalu berharap kepada-Mu.
[6] Ya TUHAN, ingatlah akan kebaikan dan kasih-Mu, yang telah Engkau tunjukkan sejak dahulu.
[7] Ampunkan segala dosa dan kesalahan masa mudaku. Ya TUHAN, demi kasih dan kebaikan-Mu ingatlah akan aku.
[8] Kerana TUHAN baik dan adil, Dia menunjukkan jalan kepada orang yang sesat.
[9] Dia memimpin orang yang rendah hati ke jalan yang benar, dan mengajar mereka kehendak-Nya.
[10] Orang yang mentaati perjanjian dan perintah-Nya, dipimpin-Nya dengan kasih dan setia.
[11] Ya TUHAN, ampunilah aku sesuai dengan janji-Mu, kerana besarlah dosaku.
[12] Orang yang taat kepada TUHAN akan ditunjukkan-Nya jalan yang harus ditempuh.
[13] Mereka akan sentiasa hidup makmur, dan anak cucu mereka akan mewarisi negeri itu.
[14] TUHAN ialah sahabat orang yang mentaati-Nya, dan Dia menyatakan perjanjian-Nya kepada mereka.
[15] Aku sentiasa mengharapkan pertolongan daripada TUHAN, dan Dia menyelamatkan aku daripada bahaya.
[16] Berpalinglah kepadaku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku, kerana aku keseorangan dan lemah.
[17] Lapangkanlah hatiku daripada segala kekhuatiran, dan selamatkanlah aku daripada segala kesusahan.
[18] Perhatikanlah segala kedukaan dan penderitaanku dan ampunkanlah segala dosaku.
[19] Lihatlah betapa banyaknya musuhku; mereka sangat membenci aku.
[20] Lindungilah dan selamatkanlah aku; supaya aku tidak mendapat malu, kerana aku datang kepada-Mu meminta perlindungan.
[21] Semoga kebaikan dan kejujuranku mengawal aku, kerana aku percaya kepada-Mu.
[22] Ya Allah, selamatkanlah umat-Mu, Israel, daripada segala kesusahan mereka.