[1] Mazmur Daud. Jangan geram kerana orang jahat; jangan cemburu akan mereka yang berbuat salah.
[2] Mereka segera lenyap seperti rumput, dan layu seperti tumbuh-tumbuhan hijau.
[3] Percayalah kepada TUHAN dan buatlah perkara yang baik; tinggallah di negeri ini dan kamu akan selamat.
[4] Carilah kebahagiaan yang datang daripada TUHAN, dan Dia akan memuaskan keinginan hatimu.
[5] Serahkanlah hidupmu kepada TUHAN, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau;
[6] Dia akan menyebabkan kebaikanmu bersinar seperti matahari pada waktu tengah hari.
[7] Nantikanlah TUHAN dengan hati yang tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak. Jangan geram kerana orang yang hidup makmur, atau kerana orang yang melakukan tipu muslihat.
[8] Jangan marah atau panas hati; hal itu hanya mendatangkan kecelakaan.
[9] Orang yang berharap kepada TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi orang yang jahat akan diusir.
[10] Orang yang jahat akan lenyap dengan segera; walaupun dicari, mereka tidak akan dijumpai.
[11] Orang yang rendah hati akan mewarisi negeri ini, dan menikmati kemakmuran yang berlimpah-limpah.
[12] Orang jahat berkomplot menentang orang baik dan memandang mereka dengan benci.
[13] Tetapi Tuhan mentertawakan orang jahat, kerana Dia tahu kesudahan mereka sudah dekat.
[14] Orang jahat menghunus pedang dan melengkungkan busur untuk membunuh orang yang miskin dan susah, untuk membantai orang yang baik;
[15] tetapi mereka akan ditikam oleh pedang mereka sendiri, dan busur mereka akan dipatahkan.
[16] Sedikit barang yang dimiliki orang baik lebih berharga daripada kekayaan semua orang jahat,
[17] kerana TUHAN akan mematahkan kuasa orang jahat dan melindungi orang baik.
[18] TUHAN memelihara mereka yang mentaati-Nya, dan negeri ini menjadi pusaka mereka selama-lamanya.
[19] Mereka tidak akan menderita pada masa kesusahan; mereka akan berkecukupan pada masa kelaparan.
[20] Tetapi orang jahat akan mati; musuh TUHAN akan hilang seperti bunga di padang; mereka akan lenyap seperti asap.
[21] Orang jahat meminjam dan tidak membayar balik, tetapi orang baik memberi dengan murah hati.
[22] Mereka yang diberkati TUHAN akan mewarisi negeri ini, tetapi mereka yang dikutuk oleh-Nya akan diusir.
[23] TUHAN memimpin orang ke jalan yang harus ditempuhnya dan melindungi orang yang diperkenankan-Nya.
[24] Jika orang itu jatuh, dia tidak akan cedera, kerana TUHAN memegang tangannya.
[25] Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan TUHAN, ataupun anak mereka meminta-minta makanan.
[26] Mereka sentiasa memberi dan meminjamkan dengan murah hati, dan anak-anak mereka menjadi berkat bagi mereka.
[27] Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik, supaya keturunanmu hidup di negeri ini selama-lamanya;
[28] kerana TUHAN suka akan kebenaran, dan tidak meninggalkan umat-Nya yang setia. Dia melindungi mereka selama-lamanya, tetapi keturunan orang jahat akan diusir.
[29] Orang yang salih akan memiliki negeri ini, dan tinggal di sini selama-lamanya.
[30] Kata-kata orang yang baik itu bijak, dan mereka sendiri pun adil.
[31] Mereka menyimpan Taurat Allah dalam hati dan tidak menyimpang daripadanya.
[32] Orang jahat mengawasi orang baik serta mencari kesempatan untuk membunuh mereka;
[33] tetapi TUHAN tidak menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh ataupun membiarkan mereka dihukum ketika diadili.
[34] Berharaplah kepada TUHAN dan taatilah perintah-Nya; Dia akan memberi kamu negeri ini untuk menghormatimu, dan kamu akan melihat orang jahat dihalau.
[35] Aku pernah melihat orang jahat yang suka menindas orang lain; mereka tinggi seperti pokok sedar di Lebanon;
[36] kemudian aku lalu, tetapi mereka tiada lagi; aku mencari tetapi tidak menjumpai mereka.
[37] Perhatikanlah orang yang baik dan orang yang salih; orang yang suka akan perdamaian mempunyai keturunan;
[38] tetapi orang yang berdosa akan dibinasakan, dan keturunan mereka pun dihapuskan.
[39] Orang yang salih diselamatkan oleh TUHAN; Dia melindungi mereka pada masa kesusahan.
[40] Dia menolong dan menyelamatkan mereka; serta membebaskan mereka daripada orang jahat, kerana mereka minta perlindungan daripada-Nya.