Skip to content
Opens in a new window

[1] “Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal!”

[2] Ulangilah kata-kata itu untuk memuji TUHAN, hai kamu semua yang sudah diselamatkan-Nya. Dia telah menyelamatkan kamu daripada musuh,

[3] dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri asing, dari timur dan barat, dari utara dan selatan.

[4] Ada yang mengembara di padang pasir, tidak menemui jalan ke kota yang berpenghuni.

[5] Mereka kelaparan dan kehausan, dan kehilangan segala harapan.

[6] Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

[7] Dia memimpin mereka melalui jalan yang lurus, ke kota yang dapat didiami mereka.

[8] Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

[9] Dia memuaskan orang yang dahaga, dan mengenyangkan orang lapar dengan segala yang baik.

[10] Ada orang yang meringkuk di dalam kegelapan, orang tahanan yang dibelenggu dan menderita,

[11] kerana mereka telah memberontak terhadap perintah Allah, dan menolak arahan Yang Maha Kuasa.

[12] Mereka patah semangat kerana pekerjaan yang berat, mereka jatuh, dan tidak seorang pun memberikan pertolongan.

[13] Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

[14] Dia membawa mereka keluar dari kegelapan, dan memutuskan rantai yang membelenggu mereka.

[15] Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

[16] Dia merobohkan pintu-pintu gangsa, dan mematahkan palang-palang besi.

[17] Ada yang jahil dan menderita kerana dosa mereka, serta diseksa kerana kejahatan mereka;

[18] mereka mual terhadap segala makanan, dan sudah dekat pintu maut.

[19] Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, lalu Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

[20] Dia memulihkan mereka dengan firman-Nya, dan tidak membiarkan mereka mati.

[21] Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

[22] Mereka mesti bersyukur kepada-Nya dengan mempersembahkan korban, dan memberitakan perbuatan-Nya dengan lagu-lagu gembira.

[23] Ada pula yang belayar dengan kapal, mencari nafkah di lautan yang luas.

[24] Mereka nampak perbuatan TUHAN, perbuatan-Nya yang menakjubkan di lautan.

[25] Dengan perintah-Nya, angin bertiup dengan kencang, dan ombak bergelora.

[26] Kapal-kapal terangkat tinggi ke udara, lalu terhempas ke dasar samudera; orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian.

[27] Mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk; segala kemahiran mereka menjadi sia-sia.

[28] Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

[29] Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang.

[30] Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju.

[31] Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

[32] Mereka mesti memberitakan keagungan-Nya dalam perhimpunan umat, dan memuji Dia di hadapan majlis para pemimpin.

[33] TUHAN mengeringkan sungai sehingga seperti gurun, dan menjadikan mata air kering gersang.

[34] Dia menyebabkan tanah subur menjadi padang tandus, akibat kezaliman orang yang tinggal di sana.

[35] Dia mengubah padang pasir menjadi kolam air, dan tanah yang kering menjadi mata air.

[36] Dia membolehkan orang yang kelaparan tinggal di sana, dan mereka membina kota sebagai tempat kediaman.

[37] Mereka membajak ladang dan menanam pokok anggur, dan mendapat hasil yang banyak.

[38] Dia menganugerahi umat-Nya anak yang banyak, dan memelihara ternakan mereka supaya berkembang biak.

[39] Apabila umat Allah dikalahkan dan dihina dengan penindasan yang kejam serta penderitaan,

[40] TUHAN mempermalukan penindas mereka, dan menyebabkan mereka mengembara di padang pasir.

[41] Tetapi Dia menyelamatkan orang miskin daripada kesusahan, dan menyebabkan keluarga mereka mempunyai banyak anak.

[42] Orang baik nampak hal itu dan bergirang, tetapi semua orang jahat disenyapkan.

[43] Semoga orang bijak memikirkan perkara itu, semoga mereka merenungkan kasih TUHAN.

Mazmur — Chapters