[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia.
[2] Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!
[3] Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!
[4] Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; orang kejam berkumpul mengadang aku. Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,
[5] bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.
[6] Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; lihatlah sendiri, ya Allah Israel! Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.
[7] Pada waktu senja mereka pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
[8] Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. Kata-kata mereka tajam seperti pedang; mereka menyangka tiada orang yang mendengar.
[9] Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.
[10] Aku yakin akan kekuatan-Mu; ya Allah, Engkaulah pernaunganku.
[11] Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.
[12] Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, ya Tuhan, pelindung kami.
[13] Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. Kerana mereka menyumpah dan berdusta,
[14] binasakanlah mereka semasa Engkau murka; binasakanlah mereka semuanya. Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, dan Dia memerintah semua orang di dunia.
[15] Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
[16] Mereka berkeliaran mencari makanan, dan menggeram jika tidak kenyang.
[17] Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku.
[18] Aku akan memuji Engkau, pembelaku; Allah ialah pernaunganku, Allah yang mengasihi aku.