[1] Mazmur. Lagu untuk hari Sabat.
[2] Alangkah baiknya bersyukur kepada-Mu, ya TUHAN, menyanyi untuk memuji Allah Yang Maha Tinggi,
[3] mengisytiharkan kasih-Mu pada setiap pagi, dan kesetiaan-Mu pada setiap malam,
[4] dengan iringan alat muzik yang bertali, dan dengan iringan kecapi.
[5] Perbuatan-Mu, ya TUHAN, menggembirakan aku; aku menyanyi dan bergirang kerana karya-Mu.
[6] Ya TUHAN, sungguh besar perbuatan-Mu! Sungguh dalam fikiran-Mu!
[7] Orang bodoh tidak dapat mengertinya, orang dungu tidak dapat memahaminya;
[8] orang jahat mungkin tumbuh subur seperti rumput, dan orang yang melakukan kejahatan mungkin makmur; namun mereka akan dibinasakan sama sekali,
[9] kerana Engkau, ya TUHAN, penguasa tertinggi selama-lamanya.
[10] Kami tahu bahawa musuh-Mu akan dimusnahkan, dan semua orang jahat akan dikalahkan.
[11] Engkau telah menjadikan aku sekuat lembu jantan yang liar; Engkau telah memberkati aku dengan kebahagiaan.
[12] Aku telah melihat kekalahan musuhku, dan mendengar teriakan orang jahat yang menyerang aku.
[13] Orang jujur akan menjadi makmur seperti pokok palma; mereka akan menjadi kuat seperti pokok sedar di Lebanon.
[14] Mereka umpama pokok yang ditanam di Rumah TUHAN, seperti pokok yang tumbuh dengan subur di Rumah Allah kita,
[15] dan tetap menghasilkan buah pada masa tua, dan sentiasa menghijau serta kuat.
[16] Hal ini menunjukkan bahawa TUHAN adil, dan tidak terdapat kecurangan pada pembelaku.