Skip to content
Opens in a new window

[1] Doa Musa, hamba Allah. Ya Tuhan, Engkau tempat perlindungan kami, sampai selama-lamanya.

[2] Sebelum Engkau menjadikan bukit-bukit, sebelum Engkau menciptakan dunia, Engkaulah Allah yang kekal, Allah selama-lamanya.

[3] Engkau menyuruh manusia kembali kepada asal mereka, Engkau menjadikan mereka debu semula.

[4] Seribu tahun seperti sehari bagi-Mu; seperti hari kelmarin yang telah lalu, seperti satu giliran jaga pada waktu malam.

[5] Engkau mengakhiri hidup kami, hidup kami seperti mimpi. Kami umpama rumput yang bertunas pada waktu pagi,

[6] yang tumbuh dan berbunga, tetapi layu dan mati pada waktu petang.

[7] Kami binasa kerana kemurkaan-Mu; kami takut kerana kemarahan-Mu.

[8] Engkau membentangkan dosa kami di hadapan-Mu, dosa kami yang tersembunyi dilihat oleh-Mu.

[9] Usia kami dikurangkan kerana kemurkaan-Mu; hidup kami berakhir seperti satu hembusan nafas.

[10] Tujuh puluh tahun sahaja usia kami, lapan puluh, jika kami kuat; namun yang kami alami hanya kekhuatiran dan kesusahan; kehidupan segera berakhir dan kami pun lenyap.

[11] Siapakah pernah mengalami dahsyatnya kemurkaan-Mu? Siapakah yang sedar akan akibat kemarahan-Mu?

[12] Sedarkanlah kami betapa pendeknya usia kami, supaya kami menjadi bijak bestari.

[13] Ya TUHAN, sampai bilakah Engkau murka? Kembalilah dan kasihanilah hamba-hamba-Mu.

[14] Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami.

[15] Berilah kami kebahagiaan sebanyak kedukaan yang kami tanggung dalam tahun-tahun kesengsaraan.

[16] Tunjukkanlah perbuatan-Mu yang ajaib kepada kami, hamba-hamba-Mu, dan kuasa-Mu yang mulia kepada keturunan kami.

[17] Ya TUHAN, Allah kami, berkatilah kami, dan berilah kami kejayaan dalam segala usaha kami.

Mazmur — Chapters