[1] Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Sajak Daud.
[2] Ya Allah, dengarlah doaku; jangan berpaling daripada rayuanku.
[3] Dengarlah aku dan jawablah aku; aku lemah kerana kerunsinganku.
[4] Aku cemas kerana ancaman musuhku, dan remuk kerana orang jahat menindas aku. Mereka menyusahkan aku; mereka marah kepadaku dan membenci aku.
[5] Aku sangat ketakutan, ngeri akan dahsyatnya kematian.
[6] Aku diliputi ketakutan dan kegentaran, dan dicengkam oleh perasaan seram.
[7] Sekiranya aku bersayap seperti burung merpati, aku akan terbang mencari tempat yang tenang.
[8] Aku akan terbang jauh sekali; padang gurun akan kudiami.
[9] Aku akan bergegas mencari tempat berlindung terhadap ribut dan angin kencang.
[10] Kelirukanlah percakapan musuhku, ya Tuhan, kerana di kota aku nampak orang merusuh dan melakukan keganasan.
[11] Siang malam mereka mengelilingi kota, melakukan kekacauan dan jenayah.
[12] Di merata tempat berlaku pemusnahan; jalan-jalan penuh dengan penindasan dan penipuan.
[13] Andaikata musuh mempermainkan aku, aku dapat menanggungnya; andaikata seorang lawan menghina aku, aku pun dapat bersembunyi daripadanya.
[14] Tetapi engkau ini, temanku, rakanku serta sahabat karibku.
[15] Kita pernah berbual dengan mesra, dan beribadat bersama-sama di Rumah TUHAN.
[16] Biarlah dengan mendadak musuhku mati, dan turun hidup-hidup ke dunia orang mati, kerana kejahatan memenuhi rumah mereka, dan menguasai hati mereka.
[17] Tetapi aku berseru kepada TUHAN Allah untuk menolong aku, dan Dia akan menyelamatkan aku.
[18] Keluhanku dan tangisanku naik ke hadirat-Nya pada petang, pagi, dan tengah hari, dan Dia akan mendengar suaraku.
[19] Dia akan membawa aku pulang dengan selamat setelah aku berperang melawan musuh yang banyak sangat.
[20] Allah yang memerintah selama-lamanya, akan mendengar aku dan mengalahkan musuhku, kerana mereka tidak mahu berubah hati, dan tidak takut kepada Allah.
[21] Bekas temanku menyerang kawan-kawannya; dia mengingkari janjinya.
[22] Kata-katanya halus merayu, tetapi hatinya penuh kebencian; kata-katanya lemah-lembut, tetapi menikam hati seperti pedang yang tajam.
[23] Serahkanlah kekhuatiranmu kepada TUHAN, maka Dia akan membela kamu; Dia tidak akan membiarkan orang jujur dikalahkan.
[24] Tetapi Engkau, ya Allah, akan membinasakan pendusta dan pembunuh sebelum mereka mencapai separuh usia. Tetapi bagiku, aku akan percaya kepada-Mu.