Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Sebuah lagu. Pujilah Allah dengan sorakan keriangan, hai umat manusia!

[2] Bernyanyilah dan muliakanlah nama-Nya; hormatilah dan pujilah Dia!

[3] Berkatalah kepada Allah, “Sungguh menakjubkan segala perbuatan-Mu! Kuasa-Mu begitu besar sehingga musuh tunduk ketakutan di hadapan-Mu.

[4] Semua orang di bumi menyembah Engkau; mereka bernyanyi untuk memuji nama-Mu.”

[5] Marilah dan lihatlah apa yang telah dilakukan Allah, perbuatan-Nya yang ajaib antara manusia.

[6] Dia mengubah laut menjadi tanah kering, dan nenek moyang kami berjalan kaki menyeberanginya. Di sana kami bersukacita kerana perbuatan-Nya.

[7] Dia memerintah dengan perkasa selama-lamanya, dan Dia mengawasi bangsa-bangsa. Janganlah sesiapa memberontak terhadap Dia!

[8] Pujilah Allah kami, hai semua bangsa, biarlah orang mendengar pujian kamu kepada-Nya.

[9] Dia telah memelihara kami supaya tidak dibinasakan, dan Dia tidak membiarkan kami dikalahkan.

[10] Ya Allah, Engkau telah menguji kami, umpama perak dimurnikan dengan api.

[11] Engkau membiarkan kami jatuh ke dalam perangkap dan memberi kami beban yang sangat berat.

[12] Engkau membiarkan musuh memijak-mijak kami; kami melalui banjir dan api, tetapi kini Engkau telah membawa kami ke tempat yang makmur.

[13] Aku akan membawa korban ke Rumah-Mu; aku akan menepati janjiku kepada-Mu,

[14] janji yang aku ucapkan, ketika aku dalam kesusahan.

[15] Aku akan mempersembahkan ternakan yang digemukkan untuk dibakar di atas mazbah; aku akan mempersembahkan korban lembu jantan dan kambing, lalu asapnya akan naik ke langit.

[16] Marilah dan dengarlah, hai semua orang yang menghormati Allah, aku akan menceritakan apa yang telah dilakukan-Nya untuk aku.

[17] Aku berseru minta tolong kepada-Nya; aku menyanyi dan memuji Dia.

[18] Andaikata aku membiarkan dosa dalam hatiku, pasti Tuhan tidak akan mendengar aku.

[19] Tetapi sesungguhnya Allah sudah mendengar aku; Dia telah mengabulkan doaku.

[20] Aku memuji Allah, kerana Dia tidak menolak doaku, dan tidak berhenti mengasihi aku.

Mazmur — Chapters