Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur puak Korah. Untuk pemimpin koir.

[2] Dengarlah ini, hai semua orang. Dengarlah, hai semua penduduk dunia,

[3] baik orang biasa mahupun orang terkemuka, baik orang miskin mahupun orang kaya.

[4] Aku akan mengucapkan kata-kata yang bijak, buah fikiranku penuh pengertian.

[5] Aku akan mengalihkan perhatian kepada peribahasa, dan menerangkan maknanya sambil memetik kecapi.

[6] Aku tidak takut akan masa kesusahan, ketika aku dikelilingi oleh musuh,

[7] orang yang bergantung kepada kekayaan mereka, dan membanggakan harta mereka yang banyak.

[8] Tidak seorang pun dapat menebus dirinya; dia tidak dapat membayar harga tebusannya kepada Allah,

[9] kerana harga tebusan manusia itu terlalu mahal; apa yang dapat dibayarnya tidak sekali-kali cukup

[10] untuk mengelakkan diri dari kubur, supaya dia dapat hidup selama-lamanya.

[11] Sesiapa pun tahu bahawa orang bijak akan meninggal; orang bodoh dan orang tolol pun akan mati. Mereka semua meninggalkan harta kepada orang lain.

[12] Kubur menjadi tempat kediaman kekal bagi mereka; di sana mereka tinggal selama-lamanya, walaupun mereka pernah mempunyai tanah.

[13] Walaupun manusia itu kaya, seperti haiwan, mereka akan mati juga.

[14] Begitulah nasib orang yang percaya kepada diri sendiri, dan nasib orang yang puas hati dengan kekayaan mereka.

[15] Seperti domba, mereka ditentukan untuk mati, dan digembalakan oleh maut. Orang jujur akan mengalahkan mereka, mayat mereka cepat mereput; dunia orang mati menjadi kediaman mereka.

[16] Tetapi Allah akan menyelamatkan aku; Dia akan melepaskan aku daripada kuasa maut.

[17] Jangan iri hati apabila sesetengah orang menjadi kaya, apabila harta mereka bertambah-tambah;

[18] apabila mereka mati, mereka tidak dapat membawa apa-apa; harta mereka tidak dapat turun ke kubur bersama-sama mereka.

[19] Sungguhpun mereka berpuas hati dengan kehidupan mereka, dan dipuji kerana kejayaan mereka,

[20] mereka akan menyusul nenek moyang mereka juga, ke tempat yang gelap selama-lamanya.

[21] Walaupun manusia menjadi kaya, seperti haiwan, mereka akan mati juga.

Mazmur — Chapters