Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Merpati dari Daerah Jauh, yang Membisu. Mazmur Daud, pada masa orang Filistin menangkap dia di Gat.

[2] Kasihanilah aku, ya Allah, kerana aku diserang; musuh-musuhku menganiaya aku sepanjang masa.

[3] Sepanjang hari lawanku menyerang aku; banyak orang yang melawan aku.

[4] Ketika aku takut, ya Allah Yang Maha Kuasa, aku berharap kepada-Mu.

[5] Aku percaya kepada Allah dan aku tidak takut; aku memuji Dia kerana janji-Nya. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?

[6] Sepanjang hari musuhku menyusahkan aku; mereka sentiasa berusaha untuk mencelakakan aku.

[7] Mereka berkumpul di tempat persembunyian, dan mengawasi segala gerak-geriku, sambil mencari kesempatan untuk membunuh aku.

[8] Hukumlah mereka, ya Allah kerana kejahatan mereka, dengan kemurkaan-Mu, binasakanlah mereka!

[9] Engkau tahu betapa cemasnya hatiku; Engkau tahu betapa banyaknya air mataku. Bukankah semuanya itu tercatat di dalam kitab-Mu?

[10] Pada hari aku berseru kepada-Mu, mundurlah musuh-musuhku. Aku tahu bahawa Allah memihak aku.

[11] Aku memuji TUHAN Allah kerana janji-Nya.

[12] Aku percaya kepada-Nya dan aku tidak takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku?

[13] Ya Allah, aku akan menepati janjiku kepada-Mu, aku akan mempersembahkan korban kesyukuran kepada-Mu.

[14] Engkau telah menyelamatkan aku daripada kematian, dan menjauhkan aku daripada kekalahan. Oleh itu, aku dapat hidup dalam perlindungan Allah, dalam cahaya yang menerangi semua yang hidup.

Mazmur — Chapters