Skip to content
Opens in a new window

[1] Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi.

[2] Hendaklah umat Israel berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.”

[3] Hendaklah imam-imam Allah berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.”

[4] Hendaklah semua orang yang menyembah Dia berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.”

[5] Dalam kesukaran, aku berseru kepada TUHAN; Dia mengabulkan doaku dan membebaskan aku.

[6] Aku tidak takut kerana TUHAN menyertai aku; apakah yang dapat dilakukan manusia terhadap aku?

[7] TUHAN itulah yang menolong aku, aku akan melihat musuh-musuhku dikalahkan.

[8] Lebih baik berlindung kepada TUHAN, daripada mengharapkan manusia.

[9] Lebih baik berlindung kepada TUHAN, daripada mengharapkan pemimpin.

[10] Banyak musuh mengelilingi aku, tetapi aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN.

[11] Mereka mengepung aku dari segala arah, tetapi aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN.

[12] Mereka menyerbu aku seperti lebah, tetapi mereka terbakar secepat belukar; aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN.

[13] Aku diserang dengan sengit dan hampir dikalahkan, tetapi TUHAN menolong aku.

[14] TUHAN menjadikan aku gagah dan perkasa; Dia telah menyelamatkan aku.

[15] Dengarlah sorakan kemenangan di dalam khemah umat Allah; “TUHAN melakukan perbuatan perkasa!

[16] Kuasa TUHAN memberi kita kemenangan, TUHAN melakukan perbuatan perkasa!”

[17] Aku tidak akan mati, tetapi aku akan hidup, untuk menceritakan perbuatan TUHAN.

[18] Dia telah menghukum aku dengan berat, tetapi Dia tidak membiarkan aku mati.

[19] Bukalah pintu gerbang Rumah TUHAN untukku, supaya aku masuk dan bersyukur kepada TUHAN!

[20] Inilah pintu gerbang TUHAN; hanya umat Allah boleh memasukinya.

[21] Aku memuji-Mu, TUHAN, kerana Engkau mendengar seruanku, kerana Engkau telah memberi aku kemenangan.

[22] Batu yang dibuang pembina-pembina itu telah menjadi batu yang paling utama.

[23] Inilah perbuatan TUHAN; sungguh mengagumkan bagi kita!

[24] Inilah hari kemenangan TUHAN; marilah kita rayakannya dengan gembira.

[25] Kami memohon supaya Engkau menyelamatkan kami, ya TUHAN! Ya TUHAN, berilah kami kejayaan!

[26] Semoga Allah memberkati dia yang datang demi nama TUHAN! Dari Rumah TUHAN, kami memberkati kamu semua.

[27] TUHAN itu Allah; Dia baik kepada kita. Dengan melambai-lambaikan dahan pokok, mulakanlah perayaan dan berjalanlah mengelilingi mazbah.

[28] Engkaulah Allahku, aku bersyukur kepada-Mu; aku akan mengagungkan Engkau.

[29] Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi.

Mazmur — Chapters