[1] Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung Kesaksian. Mazmur Raja Daud,
[2] ketika baginda memerangi orang Aram-Mesopotamia dan orang Aram-Zoba, dan ketika Yoab pulang dan membunuh 12,000 orang Edom di Lembah Masin.
[3] Ya Allah, Engkau telah menolak kami dan mengalahkan kami; Engkau murka terhadap kami, tetapi kini kembalilah kepada kami!
[4] Engkau telah menggempakan bumi sehingga belah; perbaikilah yang pecah kerana bumi goyah.
[5] Engkau telah menyebabkan umat-Mu mengalami penderitaan berat, sehingga kami terhuyung-hayang seperti orang mabuk.
[6] Engkau telah memberikan amaran kepada orang yang menghormati Engkau, supaya mereka terlepas daripada kebinasaan.
[7] Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu; kabulkanlah doa kami, supaya umat yang Engkau kasihi diselamatkan.
[8] Dari kediaman-Nya yang suci, Allah berfirman, “Aku akan bersorak dan membahagi-bahagikan tanah Sikhem, dan mengagihkan Lembah Sukot kepada umat-Ku.
[9] Gilead dan Manasye kepunyaan-Ku, Efraim topi besi-Ku, dan Yehuda tongkat pemerintahan-Ku.
[10] Tetapi Moab hanya tempat pembasuhan-Ku; kepada Edom Aku lemparkan kasut-Ku, sebagai tanda bahawa Edom milik-Ku. Adakah orang Filistin berfikir bahawa mereka akan bersorak kerana mengalahkan Aku?”
[11] Siapakah yang akan membawa aku ke dalam kota yang berkubu itu? Siapakah yang akan membawa aku ke Edom?
[12] Ya Allah, adakah Engkau sudah menolak kami? Tidakkah Engkau maju bersama-sama tentera kami?
[13] Tolonglah kami melawan musuh, kerana pertolongan manusia tidak berguna.
[14] Bersama dengan Allah, kita akan berjaya; Dialah yang akan mengalahkan musuh kita.