Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Ya TUHAN, Engkau telah menyelami hatiku, dan Engkau mengenal aku.

[2] Engkau mengetahui segala perbuatanku; dari jauh Engkau memahami fikiranku.

[3] Engkau melihat aku, sama ada aku sedang bekerja ataupun berehat; Engkau mengetahui segala perbuatanku.

[4] Bahkan sebelum aku bercakap, Engkau sudah tahu apa yang akan kukatakan.

[5] Engkau mengelilingi aku di segala penjuru; Engkau melindungi aku dengan kuasa-Mu.

[6] Pengetahuan-Mu tentang diriku sangat dalam; terlalu dalam bagi pengertianku.

[7] Ke manakah aku dapat pergi untuk menjauhkan diri daripada-Mu? Ke manakah aku dapat lari dari hadirat-Mu?

[8] Jika aku pergi ke syurga, Engkau di sana; jika aku tidur di alam maut, Engkau di sana juga.

[9] Jika aku terbang ke ufuk timur, atau tinggal di hujung barat yang paling jauh,

[10] di sana juga Engkau akan memimpin aku, dan di sana pun Engkau akan menolong aku.

[11] Jika aku minta kegelapan melingkupi aku, ataupun cahaya di sekelilingku menjadi malam,

[12] namun bagi-Mu kegelapan itu tidak gelap, dan malam itu cerah seperti siang. Bagi-Mu gelap dan terang sama sahaja.

[13] Engkau menciptakan segala bahagian badanku; Engkau membentuk aku di dalam rahim ibuku.

[14] Aku memuji Engkau kerana Engkau menciptakan aku dengan baik dan luar biasa. Segala perbuatan-Mu ajaib dan mengagumkan. Aku benar-benar menyedarinya.

[15] Ketika tulang-tulangku dijadikan, dan dirangkaikan dengan teliti di dalam rahim ibuku, ketika aku tumbuh di sana secara rahsia, Engkau tahu bahawa aku di sana.

[16] Engkau melihat aku semasa aku dalam kandungan ibuku. Jangka masa hidupku sudah ditetapkan dan dicatat di dalam kitab-Mu, bahkan sebelum satu hari pun bermula.

[17] Ya Allah, betapa sukarnya fikiran-Mu bagiku, dan betapa banyak jumlahnya.

[18] Jika dihitung, bilangannya lebih banyak daripada butir pasir. Ketika aku bangun, aku masih bersama-sama-Mu.

[19] Ya Allah, bunuhlah orang jahat, dan jauhkanlah pengganas daripadaku!

[20] Mereka memfitnah Engkau; mereka menjahatkan nama-Mu.

[21] Ya TUHAN, aku benci akan orang yang membenci Engkau! Aku berasa jijik terhadap orang yang melawan Engkau!

[22] Aku membenci mereka dengan sepenuh hati; aku menganggap mereka musuhku.

[23] Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku; ujilah aku dan ketahuilah fikiranku.

[24] Periksalah hatiku sama ada terdapat kejahatan dalam diriku, dan pimpinlah aku ke jalan yang abadi.

Mazmur — Chapters