[1] Mazmur Asaf. TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa berfirman; Dia berseru kepada seluruh bumi dari timur sampai ke barat.
[2] Dari Sion, kota yang terindah, Allah bersinar seperti matahari.
[3] Apabila Allah kita datang, Dia tidak diam; api yang bernyala-nyala mendahului Dia, ribut yang sangat kencang mengelilingi-Nya.
[4] Dia menyuruh syurga dan bumi menjadi saksi, untuk melihat Dia menghakimi umat-Nya.
[5] Dia berfirman, “Himpunkanlah umat-Ku yang setia, yang telah mengikat perjanjian dengan Aku dan mengukuhkannya dengan mempersembahkan korban.”
[6] Langit mengisytiharkan keadilan Allah, kerana Allah itu hakim.
[7] “Dengarlah, hai umat-Ku, Aku akan berfirman; Aku akan menyalahkan kamu, hai Israel. Akulah Allah, Allah kamu.
[8] Aku tidak menyalahkan kamu kerana persembahan kamu, dan korban untuk menyenangkan hati-Ku yang selalu kamu persembahkan.
[9] Aku tidak memerlukan lembu jantan dari ladang kamu, ataupun kambing daripada ternakan kamu,
[10] kerana haiwan di hutan milik-Ku, dan juga lembu di atas ribuan bukit.
[11] Semua burung liar kepunyaan-Ku, juga semua makhluk hidup di padang.
[12] Jika Aku lapar, Aku tidak minta makanan daripada kamu, kerana dunia serta segala isinya milik-Ku.
[13] Adakah Aku makan daging lembu jantan, ataupun minum darah kambing?
[14] Persembahkanlah ucapan syukur sebagai korban kepada Allah, berikanlah segala persembahan yang kamu janjikan kepada Yang Maha Kuasa.
[15] Berserulah kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkan kamu, dan kamu akan memuji Aku.”
[16] Tetapi Allah berfirman kepada orang jahat, “Kamu tidak berhak menghafaz hukum-Ku dan membincangkan perjanjian-Ku,
[17] kerana kamu tidak mahu menerima tegur ajar-Ku; kamu menolak perintah-Ku.
[18] Apabila kamu melihat pencuri, kamu berkawan dengan mereka, kamu bergaul dengan orang yang berzina.
[19] Kamu sentiasa mengatakan yang jahat; dengan tidak ragu-ragu kamu berdusta.
[20] Kamu sedia menuduh saudara kamu, dan memfitnah saudara sekandung.
[21] Itulah yang kamu lakukan, tetapi Aku diam sahaja, maka kamu berfikir Aku seperti kamu juga. Tetapi sekarang Aku mencela kamu, dan menjadikan perkara itu nyata bagi kamu.
[22] Dengarlah, hai kamu yang melupakan Aku, jika tidak, Aku akan membinasakan kamu; dan tidak seorang pun dapat menyelamatkan kamu.
[23] Orang yang mempersembahkan ucapan syukur sebagai korban untuk menghormati Aku, dan orang yang taat kepada-Ku akan Kuselamatkan.”