[1] Pujilah TUHAN! Pujilah nama TUHAN, hai kamu hamba-hamba TUHAN
[2] yang beribadat di Rumah TUHAN, di tempat kediaman Allah kita.
[3] Pujilah TUHAN kerana Dia baik; pujilah nama-Nya kerana Dia murah hati.
[4] Dia memilih Yakub bagi diri-Nya sendiri, dan umat Israel sebagai milik-Nya sendiri.
[5] Aku tahu bahawa TUHAN kita agung; Dia lebih agung daripada semua dewa.
[6] Dia melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya, di langit mahupun di bumi, di laut mahupun di samudera.
[7] Dia mendatangkan awan ribut dari hujung bumi; Dia menjadikan kilat untuk ribut, dan Dia mengeluarkan angin dari tempat simpanan-Nya.
[8] Di Mesir Dia membunuh semua anak sulung manusia dan semua anak sulung binatang.
[9] Di sana Dia melakukan banyak mukjizat dan hal yang menakjubkan untuk menghukum raja Mesir dan semua pegawainya.
[10] Dia memusnahkan banyak bangsa, dan membunuh raja-raja yang berkuasa:
[11] Sihon, raja Amori dan Og, raja Basan, dan semua raja di Kanaan.
[12] Dia menyerahkan negeri mereka kepada umat-Nya; Dia memberikannya kepada umat-Nya, Israel.
[13] Ya TUHAN, Engkau akan sentiasa diisytiharkan sebagai Allah; semua keturunan akan mengingat Engkau.
[14] TUHAN akan membela umat-Nya; Dia akan mengasihani hamba-hamba-Nya.
[15] Patung berhala bangsa-bangsa dibuat daripada perak dan emas, dan dibentuk oleh tangan manusia.
[16] Berhala mempunyai mulut tetapi tidak dapat bercakap, mempunyai mata tetapi tidak dapat melihat,
[17] mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar; berhala pun tidak dapat bernafas.
[18] Biarlah semua orang yang membuat berhala dan yang percaya kepadanya, menjadi seperti berhala yang dibuat mereka.
[19] Pujilah TUHAN, hai umat Israel; pujilah Dia, hai imam-imam Allah!
[20] Pujilah TUHAN, hai orang Lewi; pujilah TUHAN, hai kamu semua yang menyembah Dia!
[21] Pujilah TUHAN di Sion, di rumah-Nya di Yerusalem. Pujilah TUHAN!