Skip to content
Opens in a new window

[1] Pujilah TUHAN! Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi.

[2] Siapakah dapat menceritakan perbuatan besar yang dilakukan TUHAN? Siapakah dapat memuji Dia dengan secukupnya?

[3] Berbahagialah orang yang berlaku adil, yang sentiasa melakukan apa yang benar.

[4] Ingatlah aku, ya TUHAN, ketika Engkau menolong umat-Mu; selamatkanlah aku juga, ketika Engkau menyelamatkan mereka.

[5] Semoga aku melihat umat-Mu makmur semula, dan semoga aku bersukacita bersama-sama umat-Mu, serta berbangga bersama-sama mereka yang menjadi milik-Mu.

[6] Kami telah berdosa seperti nenek moyang kami; kami jahat dan keji.

[7] Ketika di Mesir nenek moyang kami tidak faham akan perbuatan-Nya yang menakjubkan; mereka lupa akan kasih-Nya yang berlimpah, dan mereka memberontak terhadap Yang Maha Kuasa di Laut Gelagah.

[8] Tetapi Dia menyelamatkan mereka menurut janji-Nya, untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar.

[9] Dia memberikan perintah kepada Laut Gelagah dan laut itu pun kering, lalu Dia memimpin umat-Nya menyeberang laut yang kering itu.

[10] Dia menyelamatkan mereka daripada orang yang membenci mereka, dan membebaskan mereka daripada musuh mereka.

[11] Tetapi air melemaskan musuh mereka; tiada seorang pun selamat.

[12] Lalu umat-Nya percaya kepada janji-Nya, dan menyanyikan pujian untuk Dia.

[13] Tetapi mereka cepat lupa akan segala perbuatan-Nya, mereka bertindak tanpa meminta nasihat-Nya.

[14] Nafsu mereka berkobar-kobar di padang gurun, dan mereka mencubai Allah;

[15] oleh itu, Dia memberikan apa yang diminta mereka, tetapi Dia juga mendatangkan penyakit yang dahsyat kepada mereka.

[16] Di gurun itu mereka iri hati terhadap Musa, dan terhadap Harun, hamba yang mengabdi kepada TUHAN.

[17] Bumi terbuka dan menelan Datan, dan menimbusi Abiram serta keluarganya;

[18] api turun membakar pengikut mereka, dan menghanguskan semua orang durjana.

[19] Mereka membuat anak lembu emas di Sinai, lalu menyembah patung itu.

[20] Mereka menggantikan kemuliaan Allah dengan patung binatang pemakan rumput.

[21] Mereka melupakan Allah yang telah menyelamatkan mereka, Allah yang telah melakukan hal-hal besar di Mesir.

[22] Sungguh hebat perbuatan-Nya di negeri itu, sungguh menakjubkan perbuatan-Nya di Laut Gelagah.

[23] Apabila Allah berfirman hendak membinasakan umat-Nya; Musa, hamba pilihan-Nya, berdiri di hadapan Allah, dan memujuk Dia supaya tidak membinasakan mereka.

[24] Kemudian mereka menolak tanah yang indah itu, kerana mereka tidak percaya akan janji Allah.

[25] Mereka merungut di dalam khemah mereka dan tidak mahu mendengarkan TUHAN.

[26] Maka dengan sumpah Dia berjanji akan membunuh mereka di gurun,

[27] dan mencerai-beraikan keturunan mereka antara bangsa-bangsa, sehingga mereka mati di negeri-negeri asing.

[28] Kemudian di Peor, umat Allah ikut menyembah Baal, dan makan korban yang dipersembahkan kepada dewa-dewa yang tidak bernyawa.

[29] Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN dengan perbuatan mereka, lalu penyakit yang dahsyat menyerang mereka.

[30] Tetapi Pinehas berdiri dan menghukum orang yang bersalah, lalu wabak itu pun berhenti.

[31] Jasanya itu diingati orang, dan dia pun dikenang sampai selama-lamanya.

[32] Mereka membangkitkan kemurkaan TUHAN di mata air di Meriba, dan menyusahkan Musa dengan perbuatan mereka.

[33] Mereka membuat dia begitu marah, sehingga dia mengeluarkan kata-kata yang tidak seharusnya.

[34] Bangsa-bangsa lain tidak dimusnahkan mereka seperti yang diperintahkan TUHAN.

[35] Malah mereka mengahwini bangsa-bangsa itu, dan meniru cara hidup orang yang tidak mengenal Allah.

[36] Umat Allah menyembah berhala-berhala, dan hal ini menyebabkan kebinasaan mereka.

[37] Mereka mempersembahkan anak-anak sendiri sebagai korban kepada dewa-dewa negeri Kanaan.

[38] Mereka membunuh anak-anak yang tidak bersalah, sehingga negeri itu dinajiskan oleh pembunuhan itu.

[39] Mereka mencemarkan diri dengan perbuatan mereka, dan mereka tidak setia kepada Allah.

[40] Oleh itu TUHAN murka terhadap umat-Nya; Dia berasa jijik terhadap mereka.

[41] Dia menyerahkan mereka ke dalam kuasa bangsa-bangsa, dan membiarkan musuh menjajah mereka.

[42] Mereka ditindas oleh musuh, mereka dijajah sepenuhnya.

[43] Berulang kali TUHAN menyelamatkan umat-Nya, tetapi mereka masih memberontak terhadap-Nya, sehingga dosa mereka bertambah-tambah.

[44] Namun TUHAN mendengar seruan mereka, dan memperhatikan kesusahan mereka.

[45] Bagi kebaikan mereka, Dia ingat akan perjanjian-Nya, dan kerana kasih-Nya yang besar, Dia mengasihani mereka.

[46] Dia menyebabkan semua orang yang menindas mereka berasa kasihan terhadap mereka.

[47] Selamatkanlah kami, ya TUHAN, Allah kami, dan bawalah kami pulang dari antara bangsa-bangsa, supaya kami dapat bersyukur, dan memuji nama-Mu yang suci.

[48] Pujilah TUHAN, Allah umat Israel; pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya! Hendaklah semua orang berkata, “Amin!” Pujilah TUHAN!

Mazmur — Chapters