[1] Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Daud.
[2] Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang menyelamatkan aku.
[3] Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
[4] Sampai bilakah kamu semua akan menyerang seorang yang lemah seperti pagar yang hampir roboh, dan seperti dinding yang miring?
[5] Kamu hanya ingin menjatuhkan dia dari tempat kehormatannya; kamu suka berdusta. Dengan mulut, kamu memberkati, tetapi kamu mengutuk dalam hati.
[6] Dengan tenang aku menantikan Allah; Dia sahaja yang memberi aku harapan.
[7] Hanya Dia pelindungku dan penyelamatku; Dialah pembelaku, dan aku tidak akan dikalahkan.
[8] Penyelamatanku dan kehormatanku bergantung kepada Allah; Dialah pelindungku yang kuat; Dialah tempat perlindunganku.
[9] Hai bangsaku, percayalah kepada Allah setiap masa. Beritahukanlah segala kesusahan kamu kepada-Nya, kerana Dialah penaung kita.
[10] Manusia hanya seperti hembusan nafas; besar atau kecil sama-sama tidak berharga. Kalau ditimbang, mereka ternyata ringan, lebih ringan daripada sehembus nafas.
[11] Jangan bergantung kepada hasil pemerasan; jangan harapkan keuntungan daripada rompakan; walaupan kekayaan kamu bertambah, jangan bergantung kepadanya.
[12] Beberapa kali aku telah mendengar Allah berfirman bahawa kuasa berasal daripada-Nya,
[13] dan bahawa kasih-Nya kekal. Engkau, ya Tuhan, membalas semua orang menurut perbuatan mereka.