Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur Daud. TUHAN, lawanlah orang yang menentang aku, dan tentanglah orang yang memerangi aku.

[2] Gunakanlah perisai dan baju zirah-Mu, bangkitlah dan tolonglah aku.

[3] Angkatlah tombak dan lembing-Mu untuk menentang mereka yang mengejar aku. Katakanlah bahawa Engkau penyelamatku.

[4] Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dipermalukan. Biarlah mereka yang berkomplot menentang aku dipukul mundur dan dibingungkan.

[5] Biarlah mereka menjadi seperti sekam yang ditiup angin, ketika dikejar oleh malaikat TUHAN.

[6] Biarlah jalan mereka gelap dan licin, ketika mereka diburu oleh malaikat TUHAN.

[7] Tanpa sebarang sebab mereka memasang perangkap untukku dan menggali lubang yang dalam untuk menangkap aku.

[8] Biarlah mereka ditimpa kebinasaan dengan tidak disangka-sangka, dan dijerat oleh perangkap mereka sendiri lalu jatuh dan binasa.

[9] Maka aku akan bergembira kerana TUHAN; aku akan bersukacita kerana Dia menyelamatkan aku.

[10] Dengan sepenuh hati aku akan berkata kepada TUHAN, “Engkau tiada bandingnya. Engkau melindungi orang lemah daripada orang kuat, orang miskin dan sengsara daripada penindas mereka.”

[11] Saksi-saksi jahat menuduh aku, kerana perkara yang tidak aku ketahui.

[12] Mereka membalas kebaikan dengan kejahatan, dan aku putus harapan.

[13] Semasa mereka sakit, aku berkabung dan berpuasa; aku berdoa dengan menundukkan kepala,

[14] seperti mendoakan seorang sahabat atau saudara. Aku tunduk kepala kerana berdukacita, seperti orang yang menangisi kematian ibunya.

[15] Tetapi waktu aku dalam kesusahan, mereka semua bergembira dan mengerumuni sambil mengejek-ejek aku; orang yang tidak aku kenal terus-menerus memukul aku.

[16] Seperti orang yang memperolokkan orang lumpuh, mereka memandang aku dengan kebencian.

[17] Berapa lama lagi, ya Tuhan, Engkau akan membiarkan perkara ini berlaku? Selamatkanlah aku daripada serangan mereka; selamatkanlah nyawaku daripada singa-singa itu!

[18] Lalu aku akan bersyukur kepada-Mu dalam perhimpunan umat-Mu, aku akan memuji Engkau dalam pertemuan mereka itu.

[19] Jangan biarkan musuhku, pendusta itu, mentertawakan kekalahanku! Jangan biarkan orang yang membenci aku tanpa sebab, bergembira kerana kedukaanku!

[20] Mereka tidak bercakap dengan ramah; sebaliknya, mereka memfitnah orang yang mencintai kedamaian.

[21] Mereka menjerit-jerit menuduh aku, “Kami nampak perbuatanmu!”

[22] Tetapi Engkau, ya TUHAN, tahu akan perkara ini. Kerana itu, janganlah berdiam diri, janganlah jauhkan diri!

[23] Bangunlah, ya Tuhan, dan belalah aku; bangkitlah, ya Allahku, dan tolonglah aku.

[24] Belalah aku kerana Engkau adil, ya TUHAN, jangan biarkan musuhku mentertawakan aku.

[25] Jangan biarkan mereka berkata sesama sendiri, “Itulah yang kami ingini selama ini!” Jangan biarkan mereka berkata, “Kami telah mengalahkan dia!”

[26] Biarlah orang yang menghina penderitaanku dikalahkan sama sekali dan dibingungkan; biarlah orang yang mengaku diri lebih baik daripada aku diliputi perasaan kesal dan malu.

[27] Semoga orang yang ingin melihat aku dinyatakan benar, bersorak gembira dan berulang kali berkata, “TUHAN sungguh agung; Dia gembira kerana kemakmuran hamba-Nya!”

[28] Maka aku akan memberitakan keadilan-Mu, dan aku akan memuji Engkau sepanjang hari.

Mazmur — Chapters