[1] Ya TUHAN, aku datang kepada-Mu untuk perlindungan; jangan biarkan aku dipermalukan.
[2] Kerana Engkau adil, tolonglah aku dan bebaskanlah aku. Dengarlah aku dan selamatkanlah aku!
[3] Jadilah perlindungan yang kukuh bagiku, serta kubu yang kuat untuk melindungi aku; Engkaulah penaung dan pembelaku.
[4] Ya Allahku, selamatkanlah aku daripada orang jahat, daripada kuasa manusia yang tidak adil dan kejam.
[5] Ya TUHAN Raja, aku berharap kepada-Mu; aku percaya kepada-Mu sejak masa mudaku.
[6] Aku bergantung kepada-Mu seumur hidupku; sejak aku dilahirkan, Engkau melindungi aku. Aku akan sentiasa memuji Engkau.
[7] Kehidupanku menjadi teladan kepada banyak orang, kerana Engkau pembelaku yang kuat.
[8] Sepanjang hari aku memuji-Mu dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu.
[9] Janganlah tolak aku sekarang kerana aku tua; janganlah tinggalkan aku sekarang kerana aku lemah.
[10] Musuhku hendak membunuh aku; mereka berbincang dan bersekongkol menentang aku.
[11] Mereka berkata, “Allah telah meninggalkan dia; marilah kita kejar dan tangkap dia, kerana tiada sesiapa akan menyelamatkan dia!”
[12] Ya Allah, janganlah jauhi aku, ya Allahku, cepatlah tolong aku!
[13] Biarlah mereka yang menyerang aku dikalahkan serta dibinasakan! Biarlah mereka yang cuba mencelakakan aku dipermalukan dan dihinakan!
[14] Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu, dan semakin memuji-Mu.
[15] Aku akan mengisahkan kebaikan-Mu; sepanjang hari aku akan menceritakan penyelamatan daripada-Mu, walaupun hal ini melampaui pengertianku.
[16] Aku akan memuji perbuatan-Mu yang perkasa, ya TUHAN Raja, aku akan mengisytiharkan kebaikan-Mu, kebaikan-Mu sahaja.
[17] Engkau telah mengajar aku sejak masa mudaku; sampai sekarang aku menceritakan perbuatan-Mu yang menakjubkan itu.
[18] Kini aku sudah tua dan rambutku pun beruban, jangan tinggalkan aku, ya Allah. Sertailah aku semasa aku mengisytiharkan kuasa dan kebesaran-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.
[19] Kebaikan-Mu, ya Allah, memuncak ke langit. Engkau telah melakukan perkara yang besar-besar; Engkau tiada bandingnya!
[20] Engkau telah mendatangkan kesusahan dan penderitaan kepada diriku, tetapi Engkau akan memulihkan kekuatanku; Engkau akan menjauhkan aku dari kubur.
[21] Engkau akan membuat aku lebih terhormat; Engkau akan menghiburkan aku semula.
[22] Sesungguhnya aku akan memuji Engkau dengan kecapi; aku akan memuji kesetiaan-Mu, ya Allahku. Aku akan menyanyikan mazmur untuk-Mu dengan kecapi, ya Allah umat Israel, Allah Yang Suci.
[23] Aku akan bersorak ketika memainkan kecapi; aku akan menyanyi dengan segenap jiwaku, kerana Engkau telah menyelamatkan aku.
[24] Sepanjang hari aku akan mengisahkan kesetiaan-Mu, kerana mereka yang cuba mencelakakan aku telah dikalahkan dan dipermalukan.