Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN.

[2] Dosa bertutur dalam lubuk hati orang jahat, mereka menyangkal Allah dan tidak takut kepada-Nya,

[3] kerana mereka membanggakan diri, dan berfikir dosa mereka tidak akan diketahui dan tidak dibenci.

[4] Kata-kata mereka penuh dengan kejahatan dan dusta, mereka tidak lagi melakukan yang baik dan bijaksana.

[5] Mereka merancang kejahatan ketika berbaring di katil; tiada perbuatan mereka yang baik, dan mereka tidak pernah menolak apa-apa yang jahat.

[6] Ya TUHAN, kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi.

[7] Kebaikan-Mu teguh seperti gunung yang besar, dan keadilan-Mu sedalam laut. Engkau menjaga manusia dan haiwan.

[8] Ya Allah, betapa berharganya kasih-Mu, manusia mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu.

[9] Mereka mengenyangkan diri dengan makanan berlimpah dari rumah-Mu; Engkau memberi mereka minuman dari sungai kebaikan-Mu.

[10] Engkaulah sumber segala kehidupan, dan kerana cahaya-Mu, kami dapat melihat cahaya.

[11] Tetaplah mengasihi orang yang mengenal Engkau, dan berbuat baik kepada orang yang tulus hati.

[12] Jangan biarkan orang sombong menyerang aku ataupun orang jahat menyebabkan aku lari.

[13] Lihatlah, orang jahat sudah jatuh, mereka rebah, tidak dapat bangun lagi.

Mazmur — Chapters