[1] Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya; ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa.
[2] Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN; ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan.
[3] Bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita.
[4] Mintalah pertolongan TUHAN, sembahlah Dia sentiasa.
[5] Hai keturunan Abraham, hamba-Nya, dan keturunan Yakub, orang pilihan-Nya, ingatlah mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya.
[7] TUHAN ialah Allah kita; perintah-Nya berlaku di seluruh dunia.
[8] Dia memegang perjanjian-Nya selama-lamanya, janji-Nya berlaku untuk beribu-ribu keturunan,
[9] perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, dan janji-Nya dengan Ishak,
[10] lalu dikekalkan dengan Yakub, menjadi perjanjian abadi bagi umat Israel.
[11] Dia berfirman, “Aku akan memberi kamu negeri Kanaan, untuk menjadi milik pusaka kamu.”
[12] Dahulu umat Allah kecil bilangannya, mereka hidup sebagai orang asing di negeri Kanaan.
[13] Mereka mengembara dari negeri ke negeri, dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan.
[14] Tetapi Allah tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka; kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja.
[15] Dia berfirman, “Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!”
[16] TUHAN mendatangkan kebuluran di negeri mereka, dan mengambil segala makanan mereka.
[17] Tetapi Dia mengutus Yusuf untuk mendahului mereka; Yusuf telah dijual sebagai hamba.
[18] Kakinya diikat dengan rantai dan lehernya diikat dengan rantai besi,
[19] sehingga terjadi apa yang diramalkannya. Firman TUHAN membuktikan bahawa Yusuf benar.
[20] Lalu raja Mesir membebaskan dia; penguasa bangsa-bangsa melepaskan dia.
[21] Raja melantik Yusuf sebagai ketua kerajaannya, dan menjadikan dia penguasa seluruh negeri,
[22] untuk memberikan arahan kepada pegawai-pegawai raja, dan untuk memimpin para penasihat raja.
[23] Selepas itu Yakub pergi ke Mesir, dan menetap di negeri itu.
[24] TUHAN menjadikan umat-Nya bertambah banyak, sehingga mereka menjadi lebih kuat daripada musuh.
[25] TUHAN menyebabkan bangsa Mesir benci akan umat-Nya, bangsa Mesir menipu dan memperdayakan hamba-hamba-Nya.
[26] Lalu Dia mengutus Musa, hamba-Nya, dan Harun, orang yang dipilih-Nya.
[27] Mereka melakukan keajaiban daripada Allah, dan melakukan mukjizat di Mesir.
[28] Allah menjadikan seluruh negeri itu gelap, tetapi bangsa Mesir tidak mentaati perintah-Nya.
[29] Dia mengubah air sungai menjadi darah, dan membunuh semua ikan yang ada di dalamnya.
[30] Katak memenuhi negeri mereka, bahkan memasuki istana raja.
[31] Demi firman Allah, lalat dan agas memenuhi seluruh negeri itu.
[32] Dia mencurahkan hujan batu dan kilat sebagai ganti hujan biasa.
[33] Dia memusnahkan ladang anggur dan pokok ara mereka, serta menumbangkan segala pokok di sana.
[34] Demi firman-Nya, belalang datang, berjuta-juta tidak terbilang;
[35] yang makan segala tumbuhan di negeri mereka; dan makan habis segala tanaman di sana.
[36] Lalu dibunuh-Nya semua anak lelaki sulung, anak lelaki sulung semua keluarga Mesir.
[37] Selepas itu Dia memimpin umat Israel keluar; mereka membawa perak dan emas, mereka semua sihat dan kuat.
[38] Bangsa Mesir takut akan umat Israel, oleh itu mereka gembira ketika orang Israel pergi.
[39] Allah membentangkan awan untuk menaungi umat-Nya, dan memberikan api sebagai penerang pada waktu malam.
[40] Mereka meminta makanan, lalu Dia menghantar burung puyuh, mereka dikenyangkan dengan roti dari langit.
[41] Dia membelah bukit batu, lalu air memancar keluar, dan mengalir seperti sungai di gurun.
[42] Dia ingat akan janji-Nya yang suci kepada Abraham, hamba-Nya.
[43] Demikianlah Dia memimpin umat pilihan-Nya keluar; mereka menyanyi dengan gembira dan bersorak-sorai.
[44] Dia memberikan negeri bangsa asing kepada mereka, dan ladang-ladang mereka dijadikan milik umat-Nya,
[45] supaya umat-Nya taat kepada hukum-Nya, dan melakukan segala perintah-Nya. Pujilah TUHAN!