Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud. Lagu.

[2] Allah bangkit dan mencerai-beraikan musuh-Nya. Orang yang membenci Dia lari daripada-Nya.

[3] Allah mengusir mereka seperti angin meniup asap; orang jahat binasa di hadirat Allah seperti lilin mencair di dalam api.

[4] Tetapi umat Allah bergirang dan bersukacita di hadirat-Nya; mereka bersorak-sorak dengan gembira.

[5] Nyanyilah kepada Allah, pujilah nama-Nya; sediakanlah jalan bagi Dia yang mengendarai awan. Namanya TUHAN - bergiranglah di hadirat-Nya!

[6] Allah yang tinggal di tempat kediaman-Nya yang suci, memelihara anak yatim dan melindungi balu.

[7] Dia memberikan keluarga kepada yang tidak ada saudara-mara, dan membebaskan orang tawanan sehingga mereka bahagia; tetapi pemberontak akan tinggal di tanah gersang.

[8] Ya Allah, ketika Engkau memimpin umat-Mu, ketika Engkau menyeberangi gurun,

[9] bumi bergoncang dan langit mencurahkan hujan, kerana kedatangan-Mu, Allah yang berfirman di Sinai, kedatangan Allah umat Israel.

[10] Engkau menurunkan hujan yang lebat, serta memulihkan tanah yang gersang,

[11] lalu umat-Mu tinggal di sana; demi kebaikan-Mu, Engkau memelihara orang papa.

[12] Tuhan memberikan perintah-Nya, lalu banyak wanita membawa berita:

[13] “Raja-raja dan tentera mereka sudah lari!” Kaum wanita di rumah membahagikan barang rampasan, dan yang tinggal menjaga domba pada masa perang

[14] mendapat patung burung merpati yang diliputi perak, yang sayapnya disaluti emas berkilauan.

[15] Allah Yang Maha Kuasa mencerai-beraikan raja-raja di sana seperti salji turun di Gunung Zalmon.

[16] Betapa besarnya gunung Basan, gunung yang mempunyai banyak puncak!

[17] Mengapakah dari puncakmu yang banyak itu, engkau memandang dengan cemburu terhadap Bukit Sion yang dipilih Allah untuk kediaman-Nya? TUHAN akan tinggal di sana selama-lamanya.

[18] Dengan puluhan ribu kereta kuda-Nya yang besar, Tuhan datang dari Sinai ke tempat yang suci itu.

[19] Dia naik ke tempat yang tinggi, membawa banyak orang tawanan bersama-sama-Nya, dan menerima ufti daripada pemberontak. TUHAN Allah akan tinggal di sana.

[20] Pujilah Tuhan, kerana Dialah yang menyelamatkan kita; setiap hari Dia menanggung beban kita.

[21] Allah kita TUHAN yang menyelamatkan; Dialah yang membebaskan kita daripada kematian.

[22] Allah tentu akan meremukkan kepala musuh-Nya, mereka yang terus hidup dalam dosa.

[23] Tuhan berfirman, “Aku akan membawa musuh kamu kembali dari Basan, Aku akan membawa mereka kembali dari lautan yang dalam,

[24] supaya kamu dapat mencuci kaki dalam darah mereka, dan anjing kamu menjilat darah itu dengan sepuas-puasnya.”

[25] Perarakan kemenangan-Mu dilihat oleh semua orang, ya Allah, perarakan Allahku, Rajaku, masuk ke tempat kediaman-Nya.

[26] Para penyanyi berjalan di hadapan, pemain muzik di belakang, dan gadis pemain tamburin di antara mereka.

[27] “Pujilah Allah di tengah umat-Nya; pujilah TUHAN, hai semua keturunan Yakub!”

[28] Benyamin, suku yang terkecil berjalan di hadapan, kemudian ketua-ketua Yehuda bersama dengan kumpulan mereka, diikuti oleh ketua-ketua Zebulon dan Naftali.

[29] Tunjukkanlah kuasa-Mu, ya Allah, kuasa yang telah Engkau gunakan bagi kami.

[30] Di Rumah-Mu, di Yerusalem, raja-raja mempersembahkan ufti kepada-Mu.

[31] Tegurlah Mesir, binatang liar itu yang di tengah-tengah gelagah; tegurlah bangsa-bangsa, sekumpulan lembu jantan itu serta anak-anak mereka, sehingga mereka semua bersujud dan mempersembahkan perak kepada-Mu. Cerai-beraikan mereka yang gemar berperang!

[32] Duta-duta dari Mesir datang membawa gangsa; orang Etiopia bergegas membawa ufti kepada Allah.

[33] Nyanyilah bagi Allah, hai kerajaan-kerajaan dunia, nyanyikanlah pujian kepada Tuhan,

[34] kepada Dia yang melintasi langit purba. Dengarlah Dia berseru dengan kuat.

[35] Isytiharkanlah kuasa Allah; Dia memerintah seluruh Israel, kuasa-Nya kelihatan di angkasa.

[36] Sungguh mengagumkan Allah kita waktu Dia keluar dari tempat kediaman-Nya, Allah umat Israel memberikan kuasa dan kekuatan kepada umat-Nya. Pujilah Allah!

Mazmur — Chapters