Skip to content
Opens in a new window

[1] Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud.

[2] Raja bergembira, ya TUHAN, kerana Engkau menguatkan raja; raja bersukacita kerana kemenangan yang Engkau berikan kepadanya.

[3] Engkau telah memenuhi segala hasrat hatinya; Engkau telah mengabulkan permintaannya.

[4] Engkau datang kepadanya dengan berkat yang berlimpah, dan mengenakan mahkota emas di atas kepalanya.

[5] Raja meminta hidup, maka Engkau pun memberikan hidup kepadanya, bahkan umur panjang untuk selama-lamanya.

[6] Kemuliaannya besar kerana pertolongan-Mu; Engkau telah memberi raja kemasyhuran dan keagungan.

[7] Berkat-Mu kepadanya berlanjutan, dan hadirat-Mu membuat raja sangat girang.

[8] Raja yakin kepada TUHAN Yang Maha Tinggi; baginda selalu selamat kerana sentiasa dikasihi TUHAN.

[9] Raja akan menangkap semua musuhnya; raja akan menawan semua orang yang membenci baginda.

[10] Raja datang seperti api yang menyala-nyala untuk memusnahkan mereka. TUHAN akan membinasakan mereka oleh kemurkaan-Nya, dan api akan menghanguskan mereka.

[11] Raja akan membunuh semua anak mereka, dan menghapuskan semua keturunan mereka.

[12] Mereka membuat rancangan, dan berkomplot menentang raja, tetapi mereka tidak akan berjaya.

[13] Raja akan melepaskan anak panah ke arah mereka, dan membuat mereka berpatah balik dan lari.

[14] Kami memuji Engkau, ya TUHAN, kerana besarlah kuasa-Mu! Kami akan menyanyi dan memuji keperkasaan-Mu.

Mazmur — Chapters