Skip to content
Opens in a new window

[1] Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh.

[2] Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN; aku tidak akan berhenti memuji Dia.

[3] Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira.

[4] Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku, marilah bersama-sama memuji nama-Nya.

[5] Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan.

[6] Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira; mereka tidak sekali-kali akan kecewa.

[7] Orang malang berseru dan TUHAN menjawab, Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan.

[8] Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada bahaya.

[9] Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya!

[10] Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya, kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan.

[11] Singa juga lapar kerana kekurangan makanan, tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik.

[12] Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku, aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN.

[13] Mahukah kamu menikmati hidup? Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia?

[14] Jangan keluarkan kata-kata jahat, dan jangan suka berdusta.

[15] Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik; usahakanlah kedamaian dengan tekun.

[16] TUHAN memperhatikan orang salih, dan mendengar tangisan mereka;

[17] tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat; apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan.

[18] Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan.

[19] TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.

[20] Orang baik mengalami banyak kesusahan, tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya;

[21] TUHAN memelihara mereka dengan sempurna, tulang mereka tidak satu pun patah.

[22] Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka; mereka yang membenci orang salih akan dihukum.

[23] TUHAN akan menyelamatkan umat-Nya, mereka yang berlindung kepada-Nya akan diselamatkan.

Mazmur — Chapters