[1] Janganlah senyap, ya Allah; janganlah Engkau membisu, dan janganlah berdiam diri, ya Allah.
[2] Kerana lihatlah, musuh-Mu berbuat huru-hara, dan mereka yang membenci-Mu telah mengangkat kepala.
[3] Mereka berunding mengatur tipu muslihat menentang umat-Mu; dan berpakat melawan orang yang Kaulindungi.
[4] Mereka telah berkata, "Marilah kita hapuskan mereka sebagai suatu bangsa, supaya nama Israel akan luput dari ingatan."
[5] Mereka telah berpakat dan bersatu hati; mereka telah membentuk komplot menentang-Mu –
[6] orang Edom dan orang Ismael, Moab dan Hagri,
[7] Gebal, Amon dan Amalek, Filistea dan Tirus.
[8] Asyur pun telah menjadi sekutu mereka; mereka membantu keturunan bani Lut. Sela
[9] Perlakukanlah mereka seperti Kauperlakukan orang Midian, dan Sisera serta Yabin di Sungai Kison,
[10] yang binasa di En-Dor dan menjadi seperti sampah di atas bumi.
[11] Jadikanlah para pemimpin mereka seperti Oreb dan Zeeb, ya, dan raja-raja mereka seperti Zebah dan Salmuna,
[12] yang telah berkata, "Marilah kita ambil padang-padang berumput Allah sebagai milik kita."
[13] Ya Allahku, jadikan mereka seperti debu berterbangan, seperti sekam ditiup angin.
[14] Seperti api membakar hutan dan membuat gunung-ganang menyala,
[15] burulah mereka dengan badai-Mu dan takutkan mereka dengan ribut-Mu.
[16] Malukanlah mereka supaya mereka mencari nama-Mu, ya Tuhan.
[17] Biarlah mereka keliru dan kecewa selama-lamanya; ya, biarkanlah mereka malu dan binasa.
[18] Supaya mereka tahu hanya Engkau, yang bernama Tuhan – Engkaulah Yang Maha Tinggi menguasai seluruh bumi.