Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 2:02

[1] Sesungguhnya, jiwaku senyap hening menantikan Allah; daripada-Nya datang penyelamatanku.

[2] Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku; Dialah yang melindungiku, maka aku tidak akan digulingkan.

[3] Berapa lamakah kamu akan terus menyerang? Kamu semua akan dimusnahkan – seperti dinding yang miring dan pagar yang hampir rebah.

[4] Mereka berkomplot semata-mata untuk menggulingkannya daripada kedudukannya yang tinggi; mereka suka berdusta. Mereka memberkati dengan mulut, tetapi menyumpah dalam hati. Sela

[5] Jiwaku, senyap heninglah menantikan Allah sahaja; kerana harapanku terletak pada-Nya.

[6] Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku; Dialah pertahananku, maka aku tidak akan digugat.

[7] Pada Allah penyelamatanku dan kemuliaanku; batu pejal kekuatanku, dan tempat perlindunganku pada Allah.

[8] Percayalah kepada-Nya setiap waktu, hai umatku; curahkan isi hatimu di hadirat-Nya, Allah Pelindung kita. Sela

[9] Sesungguhnya, manusia baik rendah mahupun tinggi kedudukannya, hanyalah nafas dan bayangan maya; jika mereka ditimbang dengan neraca; semuanya lebih ringan daripada nafas.

[10] Jangan letakkan kepercayaan kepada penindasan, usah berharap sia-sia kepada hasil rompakan; walaupun kekayaanmu bertambah, jangan bergantung kepadanya.

[11] Allah telah berfirman beberapa kali, dan aku telah mendengar: bahawa kuasa hanya milik Allah,

[12] kasih juga milik-Mu, ya Tuhan. Engkau memberi ganjaran yang sepadan dengan usaha setiap orang.

Mazmur — Chapters