[1] Kami telah mendengar dengan telinga kami sendiri, ya Allah; nenek moyang kami menceritakan kepada kami perbuatan yang Kaulakukan pada zaman mereka, zaman dahulukala.
[2] Engkau telah mengusir bangsa-bangsa asing dengan tangan-Mu lalu menempatkan umat-Mu di tanah ini; Engkau menurunkan bala kepada bangsa-bangsa asing dan menyingkiri mereka.
[3] Umat-Mu tidak menakluki tanah ini dengan pedang mereka, dan tidak menyelamatkan diri dengan kekuatan mereka sendiri; yang melakukannya ialah tangan kanan-Mu, kekuatan-Mu dan cahaya wajah-Mu, kerana Engkau meredai mereka.
[4] Engkau Rajaku, ya Allahku, perintahkanlah kemenangan untuk Yakub.
[5] Melalui Engkau kami akan menumbangkan musuh kami; dengan nama-Mu kami akan menakluki orang yang menyerang kami.
[6] Aku tidak akan percaya kepada busurku, atau pedangku untuk menyelamatkan kami daripada musuh kami;
[7] tetapi Engkau telah menyelamatkan kami daripada musuh kami, dan memalukan mereka yang membenci kami.
[8] Kami memegahkan Allah sepanjang hari, dan memuji nama-Mu selama-lamanya. Sela
[9] Tetapi sekarang Engkau menyingkiri dan memalukan kami; dan Engkau tidak bersama tentera kami.
[10] Engkau membuat kami berundur apabila diserang musuh, dan mereka yang membenci kami merampas harta kami.
[11] Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba dan mencerai-beraikan kami dalam kalangan bangsa-bangsa.
[12] Engkau menjual umat-Mu dengan harga picisan, dan tidak mendapat untung daripada jualan itu.
[13] Engkau menjadikan kami bahan ejekan jiran kami, penghinaan dan cemuhan semua orang sekeliling kami.
[14] Engkau membuat kami buah mulut bangsa-bangsa; mereka menggeleng kepala mengumpat kami.
[15] Aku sentiasa sedar akan maruahku yang tercemar, dan keaiban yang terpalit di mukaku
[16] kerana suara orang yang mengejek dan mencaci, kerana suara musuh dan pendendam.
[17] Segala ini telah menimpa kami, tetapi kami tidak melupakan-Mu dan tidak mengkhianati perjanjian dengan-Mu.
[18] Hati kami tidak berpaling tadah; dan langkah kami tidak meninggalkan jalan-Mu.
[19] Tetapi Engkau meninggalkan kami untuk dimakan serigala dan meliputi kami dengan bayangan maut.
[20] Kalaulah kami telah melupakan nama Allah kami atau menghulur tangan menyembah tuhan asing,
[21] tidakkah Allah mengetahuinya, kerana Dia tahu akan segala rahsia hati?
[22] Namun kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari; kami dianggap sebagai domba untuk disembelih.
[23] Bangunlah! Mengapa Engkau tidur, ya Tuhan? Bangkitlah! Jangan singkirkan kami selama-lamanya.
[24] Mengapa Kausembunyikan wajah-Mu, dan Kaulupakan penderitaan serta penindasan yang menimpa kami?
[25] Jiwa kami tersungkur di debu; tubuh kami terlekap ke tanah.
[26] Bangkitlah untuk menolong kami; dan tebuslah kami demi kasih setia-Mu.