[1] Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa, telah berfirman dan berseru kepada bumi daripada terbitnya hingga terbenamnya matahari.
[2] Dari Sion, puncak keindahan, Allah akan memancarkan cahaya-Nya.
[3] Allah kita, akan datang dan tidak akan berdiam diri; api yang membakar mendahului-Nya, ribut yang kencang mengelilingi-Nya.
[4] Dia akan berseru kepada langit dari takhta-Nya, dan kepada bumi, supaya menyaksikan Dia menghakimi umat-Nya:
[5] "Himpunkan umat-Ku yang warak di hadapan-Ku, mereka yang telah mengikat perjanjian dengan-Ku dan meneguhkannya dengan korban."
[6] Langit mengisytiharkan keadilan-Nya, kerana Allah itu hakim. Sela
[7] "Dengarlah, wahai umat-Ku, Aku akan berfirman, Wahai Israel, Aku akan naik saksi tentang kesalahanmu: Akulah Allah, Allahmu.
[8] Aku tidak menyalahkan kamu kerana korban sembelihanmu, atau kerana korban bakaran yang sentiasa kamu persembahkan kepada-Ku.
[9] Aku tidak memerlukan lembu jantan dari kandang di rumahmu atau kambing dari kawananmu,
[10] kerana setiap haiwan di gurun ialah milik-Ku, begitu juga lembu di atas seribu bukit.
[11] Aku mengenal semua burung di pergunungan, dan haiwan liar di padang semuanya milik-Ku.
[12] Kalaulah Aku lapar, Aku tidak akan memberitahumu, kerana dunia ini milik-Ku, dengan seluruh isinya.
[13] Adakah Aku akan makan daging lembu jantan atau minum darah kambing?
[14] Persembahkan kesyukuran kepada Allah, dan tunaikan janjimu kepada Yang Maha Tinggi,
[15] berdoalah kepada-Ku pada masa kesusahan; Aku akan menyelamatkanmu, dan kamu akan memuliakan-Ku."
[16] Tetapi kepada orang zalim, Allah berfirman: "Kamu tidak berhak mengisytiharkan hukum-Ku atau melafazkan perjanjian-Ku.
[17] Kerana kamu benci akan ajaran-Ku dan membelakangi firman-Ku.
[18] Apabila melihat pencuri, kamu berpakat dengannya; dan kamu telah menyertai orang berzina.
[19] Kamu sentiasa menuturkan kejahatan dan merancang penipuan.
[20] Kamu duduk mengumpat saudara sendiri kamu menfitnah saudara kandungmu.
[21] Kamu telah melakukan semua ini, dan Aku berdiam diri; kamu menyangka Aku serupa denganmu. Tetapi sekarang Aku memarahimu dan menjelaskan semuanya kepadamu.
[22] "Fikirkan semua ini, hai kamu yang melupakan Allah, jangan sampai Aku membinasakanmu, dan tiada siapa dapat menyelamatkanmu:
[23] Orang yang mempersembahkan pujian memuliakan Aku, dan kepada orang yang berkelakuan baik Aku akan menunjukkan penyelamatan Allah."