Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:59

[1] Kepada-Mu, ya Tuhan, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu; selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu.

[2] Condongkan telinga-Mu kepadaku, selamatkanlah aku dengan segera; jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku.

[3] Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku; oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku.

[4] Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia, kerana Engkaulah kekuatanku.

[5] Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku; Engkau telah menebusku, Ya Tuhan, Allah yang setia.

[6] Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna; aku percaya kepada Tuhan.

[7] Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu, kerana Engkau melihat penderitaanku; Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku.

[8] Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh; Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang.

[9] Kasihanilah aku, Ya Tuhan, kerana aku dalam kesusahan; mataku kian musnah oleh kesedihan, ya, seluruh jiwa ragaku.

[10] Kerana hidupku habis dengan berduka dan usiaku dengan mengeluh; kekuatanku hilang akibat dosaku, dan tulang-tulangku semakin rapuh.

[11] Aku dicemuh oleh segala musuhku, tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku; aku dipandang jijik oleh kenalanku – sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku.

[12] Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan; aku seperti sebuah bekas yang pecah.

[13] Aku mendengar ramai orang memfitnahku; ketakutan mengepungku; mereka sedang berpakat menentangku mereka merancang untuk meragut nyawaku.

[14] Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya Tuhan; aku berkata, "Engkaulah Allahku"

[15] Usiaku berada dalam tangan-Mu; selamatkanlah aku daripada segala musuhku dan daripada mereka yang memburuku.

[16] Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu.

[17] Jangan biarkan aku malu, ya Tuhan, kerana aku telah berseru kepada-Mu; biarlah orang zalim ditimpa malu biarlah mereka membisu dalam kubur.

[18] Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan, lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar.

[19] Betapa limpahnya kebaikan-Mu, yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu, yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu.

[20] Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia; Engkau akan menyembunyikan mereka di tempat selamat daripada serangan lidah manusia.

[21] Segala puji bagi Tuhan, kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung.

[22] Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar, "Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!" Namun Engkau mendengar suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu.

[23] Kasihilah Tuhan, wahai umat-Nya yang warak! Kerana Tuhan memeliharakan orang yang setia, dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh.

[24] Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu, semua kamu yang berharap kepada Tuhan.

Mazmur — Chapters