Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:47

[1] Pujilah Tuhan! Bersyukurlah kepada Tuhan, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.

[2] Siapa yang dapat menyebutkan perbuatan-perbuatan Tuhan yang hebat, siapa dapat mengisytiharkan seluruh puji bagi-Nya?

[3] Diberkatilah mereka yang menjaga keadilan, dan orang yang melakukan apa yang benar setiap waktu.

[4] Ingatlah aku, ya Tuhan, dengan keredaan yang Kauberi, selamatkan aku ketika Engkau menyelamatkan mereka,

[5] supaya aku dapat menikmati kemewahan orang pilihan-Mu, supaya aku dapat bergembira dengan rasa sukacita bangsa-Mu, supaya aku dapat merasakan kemuliaan dengan warisan-Mu.

[6] Kami telah berdosa bersama nenek moyang kami; kami telah melakukan dosa, kami telah berbuat jahat.

[7] Nenek moyang kami di Mesir, tidak memahami mukjizat-Mu; mereka tidak ingat akan keihsanan-Mu yang melimpah-limpah, tetapi telah memberontak di pinggir laut, Laut Merah.

[8] Namun demikian Dia telah menyelamatkan mereka demi nama-Nya, untuk menunjukkan kuasa-Nya yang besar.

[9] Dia juga memurkai Laut Merah, maka laut itu kering; lalu Dia memandu mereka menyeberangi laut seperti merentas gurun.

[10] Dia menyelamatkan mereka daripada tangan orang yang membenci mereka; dan melepaskan mereka daripada tangan musuh.

[11] Air laut menenggelamkan musuh mereka; tiada seorang pun yang tinggal.

[12] Lalu mereka percaya akan firman-Nya mereka menyanyikan pujian untuk-Nya.

[13] Tidak lama kemudian mereka melupakan perbuatan-Nya mereka tidak menantikan bimbingan-Nya.

[14] Tetapi dikuasai nafsu buas di gurun; dan menguji Allah di tanah tandus.

[15] Dia memberi mereka apa yang diminta oleh mereka, tetapi menghantar kelemahan ke dalam jiwa mereka.

[16] Mereka iri hati kepada Musa di perkhemahan dan Harun, orang suci Tuhan.

[17] Bumi terbuka lalu menelan Datan; dan mengambus Abiram serta para pengikutnya.

[18] Api dinyalakan dalam kalangan pengikut mereka; lalu membakar orang zalim.

[19] Mereka membuat patung anak lembu di Horeb lalu menyembah patung buatan mereka.

[20] Dengan demikian mereka menukar kemuliaan mereka untuk patung lembu jantan yang makan rumput.

[21] Mereka melupakan Allah Penyelamat mereka, yang telah melakukan perkara-perkara hebat di Mesir,

[22] mukjizat-mukjizat di tanah Ham perkara-perkara yang menakjubkan di pinggir Laut Merah.

[23] Oleh itu, Dia berfirman bahawa Dia akan memusnahkan mereka – tetapi Musa, orang pilihan-Nya, berdiri di hadirat-Nya memohon untuk mereka bagi memalingkan kemurkaan-Nya, supaya Dia tidak memusnahkan mereka.

[24] Kemudian, mereka membenci tanah yang begitu baik; mereka tidak percaya akan firman-Nya,

[25] sebaliknya bersungut di khemah-khemah mereka dan tidak menghiraukan suara Tuhan.

[26] Oleh itu, Dia mengangkat tangan-Nya bersumpah bahawa Dia akan membawa kekalahan kepada mereka di gurun,

[27] dan kepada anak cucu mereka dalam kalangan bangsa-bangsa, serta menyelerakkan mereka di serata negeri.

[28] Mereka juga menyertai Baal di Peor dan makan korban persembahan yang dibuat kepada orang mati;

[29] demikianlah mereka menyakitkan hati Tuhan sehingga Dia marah dengan perbuatan mereka, lalu berlaku wabak dalam kalangan mereka.

[30] Maka Pinehas tampil memohon untuk mereka, lalu wabak itu berakhir.

[31] Perbuatannya itu dikira sebagai perbenarannya turun-temurun selama-lamanya.

[32] Mereka juga membuat Tuhan marah di mata air Meriba, lalu Musa ditimpa kesusahan kerana mereka;

[33] kerana mereka memberontak terhadap Roh Allah, sehingga Musa bersuara dengan gopoh.

[34] Mereka tidak memusnahkan bangsa-bangsa sebagaimana telah diperintahkan oleh Tuhan kepada mereka,

[35] sebaliknya mereka bergaul dengan bangsa-bangsa itu dan mempelajari amalan-amalan mereka.

[36] Mereka melayani berhala-berhala mereka, yang menjadi jerat kepada mereka.

[37] Malah mereka mengorbankan anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka kepada roh-roh Iblis.

[38] Dan menumpahkan darah mereka yang tidak bersalah, darah anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan mereka, yang dikorbankan oleh mereka untuk berhala-berhala Kanaan, maka tanah itu dicemari darah.

[39] Demikianlah mereka dinodai oleh perbuatan mereka sendiri; dan menjadi seperti pelacur dengan kelakuan mereka sendiri.

[40] Oleh itu, kemurkaan Tuhan dinyalakan terhadap umat-Nya maka Dia jijik akan warisan-Nya sendiri.

[41] Lalu Dia menyerahkan mereka ke tangan bangsa-bangsa asing, dan orang yang membenci mereka memerintah mereka.

[42] Musuh mereka juga menindas mereka dan mereka tunduk di bawah tangan musuh.

[43] Berkali-kali Dia menyelamatkan mereka, tetapi mereka memberontak menurut rancangan sendiri lalu mereka dijatuhkan kerana dosa mereka.

[44] Namun demikian Dia mengambil berat tentang derita mereka apabila Dia mendengar seruan mereka;

[45] dan untuk mereka Dia ingat akan perjanjian-Nya lalu berlembut kerana kasih-Nya melimpah-limpah.

[46] Dia juga menyebabkan mereka dikasihani oleh semua yang membawa mereka pergi sebagai orang tawanan.

[47] Selamatkanlah kami, ya Tuhan Allah kami, dan kumpulkan kami daripada kalangan bangsa asing, supaya kami bersyukur kepada nama-Mu yang suci supaya kami berbangga dengan pujian untuk-Mu.

[48] Pujilah Tuhan, Allah Israel, dari selama-lamanya ke selama-lamanya. Dan biarlah semua orang berkata, "Amin!" Pujilah Tuhan!

Mazmur — Chapters