Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:57

[1] Kepada-Mu, ya Tuhan, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu.

[2] Selamatkanlah aku dalam perbenaran-Mu dan biar aku melepaskan diri; dengarlah rayuanku, dan selamatkan aku.

[3] Jadilah batu pejal perlindunganku yang perkasa, tempat aku bernaung setiap waktu; Engkau telah memberikan perintah supaya aku diselamatkan, kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku.

[4] Selamatkanlah aku, ya Allahku, daripada tangan orang zalim, daripada tangan orang durjana dan kejam.

[5] Kerana Engkaulah harapanku, ya Tuhan yang perkasa; Ya Tuhan, Engkaulah kepercayaanku sejak daripada usia mudaku.

[6] Kepada-Mu aku bersandar sejak kelahiran; Engkaulah yang membawaku keluar daripada rahim ibuku. Aku akan sentiasa memuji-Mu.

[7] Aku telah menimbulkan takjub orang ramai, tetapi Engkau pelindungku yang perkasa.

[8] Biarlah aku sentiasa memuji-Mu, dan mengisytiharkan kemuliaan-Mu sepanjang hari.

[9] Janganlah singkirkan aku dalam usia tua; jangan tinggalkan aku ketika kekuatanku hilang.

[10] Kerana musuhku mencerca aku; dan mereka yang mengendap untuk meragut nyawaku berpakat sama sendiri.

[11] Mereka berkata, "Allah telah meninggalkan dia; buru dan tangkaplah dia, kerana tiada siapa yang akan menyelamatkannya."

[12] Ya Allah, janganlah jauh daripadaku; Ya Allahku, segeralah tolong aku.

[13] Biar mereka dicela dan dihina; mereka yang cuba mencederakan aku akan dihina dan diaibkan.

[14] Aku akan sentiasa berharap; dan akan lebih-lebih lagi memuji-Mu.

[15] Lidahku akan menuturkan perbenaran-Mu, dan penyelamatan-Mu sepanjang hari, meski aku tidak dapat menduga batas-batasnya.

[16] Aku akan mengisytiharkan perbuatan-Mu, ya Tuhan Allah yang perkasa; aku akan menyebut perbenaran-Mu, yang hanya milik-Mu.

[17] Ya Allah, Engkau telah mengajarku sejak daripada usia mudaku, dan hingga hari ini aku tetap mengisytiharkan perbuatan-Mu yang menakjubkan.

[18] Kini aku sudah tua dan rambutku putih, Ya Allah, jangan tinggalkan aku, kuisytiharkan kuasa-Mu kepada orang zaman ini, kekuatan-Mu kepada semua keturunan yang akan datang.

[19] Perbenaran-Mu, ya Allah, mencecah langit, Engkau telah membuat perkara yang besar-besar. Ya Allah, siapa yang serupa dengan-Mu?

[20] Engkau yang telah memberiku penderitaan yang pedih, Engkau akan memulihkan aku; dan membawaku naik semula dari perut bumi.

[21] Engkau akan menambah kebesaranku dan melipurkan hatiku sepenuhnya.

[22] Dengan kecapi aku akan memuji-Mu bagi kesetiaan-Mu, ya Allahku; Untuk-Mu aku akan menyanyi sambil bermain kecapi, Ya Allah Israel, ya Allah Yang Maha Suci.

[23] Bibirku bergembira menyanyi untuk-Mu – begitu juga jiwaku yang telah Kauselamatkan.

[24] Lidahku akan menuturkan kebenaran-Mu sepanjang hari, kerana mereka telah dikelirukan dan mereka telah dimalukan, mereka yang cuba mencederakan aku.

Mazmur — Chapters