[1] Pujilah Tuhan, wahai jiwaku; dan segala yang dalamku, pujilah nama-Nya yang suci.
[2] Pujilah Tuhan, wahai jiwaku, dan jangan lupakan segala rahmat-Nya –
[3] Dia mengampunkan segala dosamu Dia menyembuhkan segala penyakitmu,
[4] Dia menebus nyawamu daripada kemusnahan, Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih,
[5] Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali.
[6] Tuhan menjalankan perbenaran dan keadilan bagi semua yang tertindas.
[7] Dia memberitahu jalan-Nya kepada Musa, perbuatan-Nya kepada kaum Israel:
[8] Tuhan penuh belas kasihan dan kasih kurnia, panjang sabar serta melimpah kasih-Nya.
[9] Dia tidak sentiasa memarahi kita, dan tidak menyimpan kemarahan-Nya untuk selama-lamanya;
[10] Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita dan tidak menghukum kita setimpal dengan kesalahan kita.
[11] Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi, demikianlah limpah kasih-Nya kepada orang yang takut kepada-Nya;
[12] sebagaimana jauhnya timur dari barat, begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita.
[13] Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak, demikianlah Tuhan mengasihani orang yang takut kepada-Nya;
[14] kerana Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ialah debu.
[15] Hidup manusia seperti rumput, seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang;
[16] angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi, dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya.
[17] Tetapi kasih Tuhan dari selama-lamanya sampai selama-lamanya bagi mereka yang takut kepada-Nya, dan perbenaran-Nya sampai anak cucu,
[18] kepada mereka yang mematuhi perjanjian-Nya dan kepada mereka yang mengingati ajaran-ajaran-Nya.
[19] Tuhan telah menempatkan takhta-Nya di syurga, dan kerajaan-Nya memerintah semua yang ada.
[20] Pujilah Tuhan, hai kamu para malaikat-Nya yang amat gagah perkasa, yang menjalankan firman-Nya dan sentiasa mendengar suara firman-Nya.
[21] Pujilah Tuhan, hai semua angkatan syurga-Nya, kamu para hamba-Nya yang melakukan apa yang diredai-Nya.
[22] Pujilah Tuhan, segala hasil kerja-Nya di semua tempat yang dikuasai-Nya. Pujilah Tuhan, wahai jiwaku.