[1] Sokonglah perjuanganku, ya Tuhan, dengan orang yang memerangiku; lawanlah mereka yang melawanku.
[2] Gunakan perisai dan baju zirah-Mu; dan bangkitlah menolongku.
[3] Hunuslah lembing dan hentikan mereka daripada memburuku. Katakan kepada jiwaku, "Aku penyelamatanmu."
[4] Malukan dan cemarkan nama orang yang hendak meragut nyawaku; dan mereka yang merancang untuk mencederakanku akan berundur dan kelam-kabut.
[5] Jadikan mereka seperti sekam ditiup angin, dan perintahkan malaikat Tuhan menghalau mereka;
[6] jadikan jalan yang ditempuh mereka gelap dan licin, dan perintahkan malaikat Tuhan memburu mereka.
[7] Kerana tanpa sebab mereka memasang jerat tersembunyi untukku dan tanpa sebab mereka gali lubang untuk meragut nyawaku,
[8] biar kebinasaan menimpa mereka dengan tiba-tiba – dan jerat yang disembunyikan mereka itu menjerat diri mereka sendiri, biar mereka terjerumus lalu binasa.
[9] Maka jiwaku akan bersukacita dengan pertolongan Tuhan, akan bergembira dengan penyelamatan-Nya.
[10] Semua tulangku akan berkata, " Tuhan, tiada siapa seperti-Mu, yang menyelamatkan orang daif daripada orang yang terlalu kuat bagi mereka, ya, menyelamatkan orang miskin dan sesak daripada orang yang merampas milik mereka."
[11] Saksi-saksi yang berniat jahat menuduhku; menyoalku tentang perkara yang tidak kuketahui.
[12] Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sehingga jiwaku berduka.
[13] Sedangkan ketika mereka sakit dahulu, aku telah berkabung aku merendahkan diriku dengan berpuasa. Dan doaku sentiasa kembali ke hatiku.
[14] Aku mundar-mandir seolah-olah mereka sahabat atau saudaraku. Aku tunduk bersedih, bagaikan berkabung untuk ibu.
[15] Namun demikian, apabila aku dalam kesusahan, mereka bergembira dan berhimpun; mereka berkumpul menyerangku sedangkan aku tidak tahu. Mereka menfitnahku dengan ganas terus-menerus.
[16] Bersama pencemuh mungkar yang mencemuh di majlis jamuan, mereka menggertakkan gigi terhadapku.
[17] Ya Tuhan, berapa lamakah Engkau akan melihat sahaja? Selamatkanlah aku daripada binasa di tangan mereka, dan nyawaku yang satu-satunya daripada mulut singa.
[18] Aku akan mengucapkan syukur kepada-Mu di perhimpunan besar; aku akan memuji-Mu di hadapan khalayak ramai.
[19] Jangan benarkan mereka yang memusuhiku tanpa alasan bergembira kerana kekalahanku; jangan benarkan mereka yang membenciku tanpa sebab berkenyitan riang.
[20] Mereka tidak bertutur untuk kesejahteraan, tetapi merancang kepalsuan dan penipuan terhadap orang yang hidup damai.
[21] Mereka juga telah bersuara lantang menuduhku dengan berkata, "Aha, aha! Kami telah melihatnya dengan mata kami."
[22] Ini telah Kaulihat, ya Tuhan; janganlah berdiam diri. Ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku.
[23] Bangkit dan pertahankanlah kebenaranku! Sokong perjuanganku, Ya Allahku dan ya Tuhanku.
[24] Ya Tuhan, ya Allahku, pertahankanlah aku menurut perbenaran-Mu; dan jangan biarkan mereka bergembira kerana kekalahanku.
[25] Jangan biarkan mereka berkata dalam hati, "Aha, inilah yang kita mahu!" Jangan biarkan mereka berkata, "Kita telah menghapuskannya."
[26] Malukan dan kelirukanlah mereka yang bergembira kerana penderitaanku; aibkan dan cemarkan nama mereka yang mengangkat diri menentangku.
[27] Gembirakan hati sehingga bersorak girang mereka yang menyokong perjuanganku yang benar; biar mereka berkata setiap waktu, "Muliakan Tuhan, yang meredai kejayaan hamba-Nya."
[28] Lidahku akan mengisytiharkan perbenaran-Mu serta memuji-Mu sepanjang hari.