[1] Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya, dan yang dihapuskan dosa-dosanya.
[2] Diberkatilah orang yang dosanya tidak diperhitungkan Tuhan dan yang tiada penipuan dalam hatinya.
[3] Ketika aku membisu, tulang-tulangku kian uzur akibat rintihanku sepanjang hari.
[4] Kerana siang malam hukuman-Mu berat menekanku; tenagaku hilang bagaikan kemarau musim panas. Sela
[5] Lalu aku mengakui dosaku kepada-Mu dan tidak menyembunyikan kejahatan dosaku. Kataku, "Aku akan mengakui keingkaranku kepada Tuhan" – maka Engkau mengampunkan dosaku. Sela
[6] Oleh itu, setiap orang yang warak hendaklah berdoa kepada-Mu ketika Engkau masih dapat dicari; apabila banjir besar melanda, tentulah dia akan terselamat.
[7] Engkau tempatku berlindung; Engkau akan menaungiku daripada kesusahan Engkau akan memeliharaku dengan nyanyian penyelamatan. Sela
[8] Aku akan mendidik dan mengajarmu ke jalan yang benar; Aku akan membimbingmu dengan mata-Ku.
[9] Janganlah berkelakuan seperti kuda atau keldai, yang tidak berakal dan perlu dipasangkan tali serta kekang supaya menurut kata.
[10] Orang zalim akan menanggung pelbagai penderitaan, tetapi orang yang percaya kepada Tuhan akan dilimpahi kasih setia.
[11] Bersukacitalah dalam Tuhan dan bergembiralah, wahai orang yang benar; dan bersoraklah dengan girang, wahai semua orang yang tulus hati!